Siakap Keli
silat
Gambar: Twitter

Pesilat Negara Dihujani Pujian, Lindung Kepala Atlet Indonesia Semasa Tudungnya Tertanggal

Sukan SEA ke-31 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam telah pun membuka tirai pada 12 Mei 2022 yang lalu.

Pelbagai acara yang dipertandingkan di pentas tersebut bakal menjadi rebutan atlet-atlet terbaik di benua Asia Tenggara bagi membuktikan kehebatan mereka.

Ramai yang ketahui bahawa setiap negara yang bertanding mempunyai sasaran dan kelebihannya yang tersendiri dalam sesetengah acara.

Bagi Malaysia, acara pencak silat adalah salah satu lubuk emas untuk negara mengutip pingat oleh kerana kebolehan serta reputasi cemerlang atlet negara dalam acara tersebut.

Baca: Tetap Beraksi Walau Kesakitan, Al Jufferi Jamari Akur Tewas Di Tangan Pesilat Singapura

Sungguhpun begitu, untuk memenangi pingat bukanlah suatu perkara yang mudah kerana atlet dari negara lain juga turut menunjukkan aksi yang cemerlang semasa bertemu dengan atlet negara.

Selain fokus kepada acara tersebut, tumpuan juga turut terarah kepada detik-detik epik dan mengharukan yang ditonjolkan oleh atlet yang bertanding.

Terbaru, tular satu video yang memaparkan seorang atlet negara iaitu Siti Shazwana Ajak berusaha melindungi kepala pesilat Indonesia iaitu Selly Andriani kerana tudung yang dipakainya tertanggal sewaktu mereka berdua sedang berentap.

Perlawanan tersebut dihentikan seketika bagi memberi ruang kepada atlet Indonesia itu untuk membetulkan tudungnya semula sebelum menyambung semula perlawanan tersebut.

Tindakan yang dipamerkan oleh atlet negara telah mendapat pujian daripada peminat sukan kedua-dua negara.

Terdahulu, Jaguh silat negara, Al Jufferi Jamari gagal meneruskan saingan dalam acara pencak silat kategori putra F selepas ditewaskan oleh pesilat dari Singapura sebentar tadi.

Biar pun pada satu ketika ketinggalan dengan jurang mata yang agak jauh, juara dunia 3 kali itu berjaya juga untuk merapatkan mata dan memberikan saingan yang begitu sengit kepada lawannya.

Difahamkan bahawa Al Jufferi Jamari terpaksa beraksi dalam keadaan kesakitan selepas dibelenggu kecederaan hasil daripada perlawanan sebelumnya yang belum lagi pulih sepenuhnya.

Tuah menyebelahi Siti Shazwana Ajak kerana beliau berjaya memenangi perlawanan tersebut dan berjaya mara ke peringkat separuh akhir.

Sumber: Twitter, Bernama

 

Aqmal Ezany

I write what is right