Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Sukan SEA: Kem Memanah Akhiri Cabaran Di Hanoi Dengan Dua Emas

HANOI, 19 Mei (Bernama) — Penantian skuad memanah kebangsaan menuai pingat emas pada Sukan SEA ke-31, berakhir selepas gandingan Mohd Juwaidi Mazuki-Fatin Nurfatehah Mat Salleh mendominasi saingan final compound berpasukan campuran, mengatasi pasangan Filipina di sini, hari ini.

Pada aksi penentuan pingat emas di lapang sasar memanah di Pusat Latihan Sukan Nasional Hanoi di sini, Mohd Juwaidi-Fatin Nurfatehah yang merupakan pemanah berpengalaman negara melakar kemenangan tipis 151-150, ke atas Paul Marton Santos Dela Cruz-Jennifer Dy Chan.

Gangsa diraih gandingan Sirapop Chainak-Kanyavee Maneesombatkul dari Thailand.

Sejurus menghadiahkan kejayaan bermakna kepada kem negara, Mohd Juwaidi yang juga atlet Olimpik menggondol emas keduanya di temasya sukan dwitahunan itu, dalam acara compound individu lelaki.

Beliau dengan bergaya menewaskan Sirapop 147-142 yang terpaksa berpuas hati meraih perak sementara gangsa dimenangi seorang lagi wakil negara Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli selepas mengatasi pemanah tuan rumah Nguyen Van Day 146-143.

Terdahulu, Mohd Juwaidi, Alang Ariff dan Wong Co Wan terpaksa berpuas hati meraih perak dalam acara berpasukan lelaki, sementara trio wanita negara dibarisi Fatin Nurfatehah, Iman Aisyah Norazam dan P. Kayalvhily membawa pulang gangsa acara berpasukan.

Sebagai rekod pada Sukan SEA 2019 di Filipina, Malaysia tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat dalam acara berpasukan campuran dan individu lelaki.

Dengan sukan memanah menutup tirai saingan hari ini, skuad memanah kebangsaan menamatkan cabaran di Hanoi dengan mengumpul keseluruhan dua emas, dua perak dan lima gangsa, selepas memungut satu perak dan tiga gangsa dalam saingan recurve.

Sumber: Bernama

Sofea

There's always another side to every story