Siakap Keli
tumor otak
Gambar via Mothership

Bercerai Sebab Sifat Panas Baran, Doktor Sahkan Tumor Otak Jadi Punca Lelaki Ini Berubah Sikap

Hidup seorang lelaki di Singapura berubah sekelip mata apabila dia secara tiba-tiba bertukar menjadi seorang yang panas baran sehingga menyebabkannya bercerai dengan isterinya.

Bagaimanapun, punca perubahan sikapnya itu sebenarnya berlaku disebabkan oleh tumor otak yang jarang terjadi.

Memetik laporan Mothership, lelaki itu telah bercerai dua tahun yang lalu selepas dia mula menunjukkan kecenderungan melakukan penderaan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Namun, dia mendapat peluang kedua bersama isteri dan keluarganya pada Julai 2021 selepas melakukan pembedahan otak.

Difahamkan, lelaki itu berubah sikap secara tiba-tiba sejak perintah berkurung dilaksanakan pada tahun 2020.

Dia dipercayai tidak dapat mengawal kemarahan dan melepaskannya kepada ahli keluarganya walaupun dia sebenarnya tidak tahu mengapa dia bertindak sedemikian.

“Saya fikir keadaan tersebut berlaku disebabkan pandemik atau persekitaran kerja yang berubah,” katanya.

Menurutnya, keadaan menjadi bertambah buruk dari hari ke hari sehingga melibatkan pihak polis.

Jadi punca perceraian

Masalah itu berlarutan sehingga menyebabkan dia dan isterinya bercerai pada Jun 2020.

“Kenapa saya rasa marah? Mengapa saya melakukannya,” katanya.

Tetapi dia tidak dapat menjelaskan mengapa dia tidak dapat menahan emosinya semasa kemarahan yang membuak-buak.

Dia berasa kesal dan bersalah atas penderaan yang dilakukannya terhadap orang tersayang dan ia adalah tempoh kelam yang tidak mahu dilaluinya lagi.

Tidak lama kemudian, dia mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam otaknya.

Pada satu tahap dia pernah mengalami kekejangan dan pengsan selama beberapa saat.

Ia seterusnya mula berlaku dengan lebih kerap iaitu lapan kali dalam satu hari.

Setelah dinasihatkan oleh rakan sekerjanya untuk melakukan pemeriksaan di hospital, lelaki itu mendapat berita buruk mengenai keadaannya.

BACA: Ketahui 10 Gejala Hidap Penyakit Tumor Otak, Salah Satunya Ialah Kerap Mengantuk

Hidap glioblastoma

Pakar di Hospital Universiti Kebangsaan (NUH) mendapati bahawa lelaki itu menghidap glioblastoma iaitu tumor otak yang jarang berlaku dan ‘agresif’.

Difahamkan, tumor itu boleh menyebabkan jangka hayat pesakit hanya bertahan selama 18 hingga 24 bulan sahaja.

Glioblastoma berlaku kepada tiga dalam 100,000 orang dan selalunya didiagnosis pada mereka yang lebih tua.

Profesor Madya Klinikal Yeo Tseng Tsai dari Jabatan Pembedahan di NUH berkata ia adalah tumor kecil di lokasi tertentu.

Menurutnya, tumor yang berdiameter dua hingga tiga sentimeter itu terletak di lobus temporal lelaki itu.

Ia menjejaskan bahagian emosi otaknya dan mencetuskan perubahan tingkah laku kepada dirinya.

“Bahagian otak ini dipanggil amygdala, iaitu otak emosi yang mengeluarkan rasa marah atau tindak balas pergaduhan,” katanya.

Lelaki itu menjalani dua pembedahan otak pada Julai 2021 iaitu pembedahan mini-craniotomy dan reseksi tumor.

Selepas kesemua pembedahan, dia bersyukur kerana sudah kembali sihat dan tidak lagi mempunyai sifat marah secara tiba-tiba seperti sebelum ini.

Sumber: Mothership

Sofea

There's always another side to every story