Siakap Keli
gadis maut payung terjun gagal terbuka
Foto: MIrror UK

Gadis Maut Payung Terjun Gagal Terbuka, Jatuh Dari Ketinggian Lebih 1,000 Meter

Seorang gadis berasal dari Perancis maut ketika melakukan aktiviti terjunan udara selepas payung terjun yang digunakan gagal terbuka. Insiden tersebut mengakibatkan gadis tersebut jatuh terhempas dari ketinggian lebih 1,000 meter ke tanah.

Memetik laporan Mirror UK, mendiang yang dikenali sebagai Romane Hourcastagnou berusia 23 tahun merupakan penerjun professional malah gadis ini telah melakukan lebih 100 terjunan sebelum ini.

Difahamkan, insiden ngeri itu berlaku semasa mangsa bersama 10 orang penerjun berpengalaman yang lain melakukan aktiviti terjunan udara berhampiran kediamannya di Strasbourg.

Menurut laporan tempatan, Hourcastagnou dikatakan melompat dari pesawat pada ketinggian 1,000 meter namun ia merupakan terjunan terakhir sebelum maut kerana payung gagal berfungsi dari atas.

Terhempas dalam beberapa saat

Saksi mendakwa mangsa dikatakan melakukan pergerakan cemas namun tidak berjaya kerana faktor ketinggian dan kelajuan yang sangat pantas menyebabkan mangsa terhempas dalam beberapa saat.

Tambahnya lagi, para penerjun yang lain cuba membantu mangsa namun tidak berjaya.

“Kami menyaksikan kemalangan itu dengan penuh rasa kesal kerana tidak dapat membantunya. Selepas payung terjun Hourcastagnou gagal terbuka, impak ketika dia jatuh ke atas tanah amat mengerikan. Mangsa meninggal dunia ditempat kejadian,” ujar seorang saksi kejadian.

Perkhidmatan Kecemasan yang datang ke lokasi kejadian mengesahkan tentang kematian penerjun profesional ini dan membawa mayat mangsa ke rumah mayat terdekat.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan mengesahkan telah membuka kes siasatan berhubung kematian penerjun muda itu.

Sumber: Mirror UK

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang