Siakap Keli
facebook tangmo aktif semula
Gambar Via Salemgists

“Masih Menunggu Kebenaran,” Netizen Kecoh, Facebook Tangmo Aktif Semula

Timbul isu baharu, netizen kecoh Facebook Tangmo aktif semula

Hampir sebulan selepas siasatan kematian pelakon Thailand, Nida “Tangmo” Patcharaveerapong selesai dan disimpulkan sebagai kecuaian, timbul pula isu baharu yang menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Memetik laporan portal Salem Gists, akaun Facebook milik mendiang pelakon itu didapati aktif semula sehingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan netizen.

Difahamkan, kemas kini terbaru dari Facebook itu memberi petunjuk mengenai apa yang sebenarnya berlaku ke atas Tangmo dan meminta agar kebenaran dirungkai semula.

Malah, akaun Facebook itu juga memuatnaik beberapa keping foto yang didakwa netizen tidak pernah didedahkan sebelum ini.

Bagaimanapun, individu di sebalik kemas kini itu masih belum diketahui dan kekal misteri sehingga kini.

 Ibu mendiang bukan pelakunya

Menurut laman berita Thairath, peguam yang dikenali sebagai Decha telah mengesahkan bahawa akaun Facebook itu tidak digunakan oleh ibu Tangmo.

Katanya, ibu Tangmo tidak tahu cara untuk menggunakan media sosial itu dan dia tidak tahu siapa yang bertanggungjawab ke atas semua kiriman terbaru tersebut.

Dalam satu kemas kini yang memaparkan foto mendiang bersama beberapa orang yang lain di dalam bot, ‘individu’ tersebut mendakwa ada kebenaran yang masih belum didedahkan dari lima orang rakan Tangmo.

“Masih menunggu kebenaran daripada 5 orang itu. Jika tidak mahu bercakap benar, saya akan beritahu semua perkara yang berlaku atas bot pada malam kejadian agar semua orang tahu.

“Jangan ingat bila padam semua maklumat dalam telefon bimbit, ia tidak lagi boleh didapati semula kawan-kawan baik ku,” tulis kapsyen di gambar itu.

Rakan-rakan tidak tahu kata laluan

Sementara itu, rakan terdekat Tangmo turut mengesahkan bahawa mereka semua tidak tahu kata laluan akaun Facebook itu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkaitan isu ini.

Terdahulu, Polis Wilayah 1 Bangkok memaklumkan bahawa lima rakan dan seorang lelaki yang berada di dalam bot bersama Tangmo pada hari kejadian menghadapi beberapa pertuduhan.

Mereka didapati berbohong kepada pihak polis serta menyembunyikan bukti.

Pihak polis juga menjelaskan bahawa kematian Tangmo bukan disebabkan oleh pembunuhan yang dirancang tetapi  kerana kemalangan.

Tangmo telah ditemui lemas di Sungai Chao Phraya selepas terjatuh dari bot laju yang dinaikinya bersama rakan-rakan pada 24 Februari lalu.

BACA: Siasatan Selesai, Polis Sahkan Tangmo Bukan Mati Dibunuh Sebaliknya Disebabkan Kecuaian

Sumber: Salemgists, Thairath

Sofea

There's always another side to every story