Siakap Keli
Kredit: Mirror

Cemas, Detik Belon Udara Panas Terbabas Dekat Kawasan Perumahan Berjaya Dirakam

Detik cemas mengejutkan penduduk Taunton, Somerset apabila sebuah belon udara panas hampir melanggar perumahan kawasan tersebut.

Menerusi akhbar Mirror, belon udara panas itu dikatakan terbang rendah dan dalam keadaan yang tidak stabil. Satu video rakaman berjaya diambil oleh salah seorang penduduk di kawasan tersebut.

Seorang saksi ternampak belon panas itu melambung ke atas sebuah kereta BMW M5 sebelum mendarat di kawasan tempat parkir kereta yang berkunci.

Nicki Witherden, seorang penduduk tempatan, berjaya merakamkan insiden belon tersebut sedang menjunam sehingga berjaya mendarat dengan selamat di Allington Road Park pada Khamis, 19 Mei lalu.

Saksi lain, yang merupakan seorang Pegawai Pentadbir berusia 53 tahun yang menetap bertentangan dengan tempat kejadian itu pula menyatakan bahawa belon udara panas tersebut telah melintasi Taunton pada awal petang itu.

Katanya: “Saya telah dikejutkan dari tidur oleh pasangan yang sedang bercakap akan sesuatu, lalu saya bangun dan pergi melihat sebuah belon merah besar yang sedang turun melalui pintu balkoni”

“Ramai orang berkumpul untuk melihat kejadi itu, ia agak menakutkan untuk ditonton. Mujur, tiada sesiapa yang tercedera.

“Ramai orang ternampak ia menjunam di sekitar Taunton dan ia kebetulan mendarat berhampiran dengan tempat tinggal saya.”

Video tersebut merakamkan detik belon itu mendarat di tempat letak kereta yang dikelilingi rumah pangsa.

Seorang lagi saksi menambah: “Belon itu kelihatan bermasalah ketika ia melintasi lebuh raya. Ia terbang dengan sangat rendah hampir separas tinggi kedai.

“Ia terbang sangat rendah dan tidak menentu sebelum turun di tempat letak kereta. Tempat letak kereta dikunci supaya tiada sesiapa boleh keluar.

“Mereka menunggu pemegang kunci tiba. Penumpang berjaya keluar melalui pintu pagar sebelah. Bakul itu penuh dengan orang. Apabila ia mendarat mereka semua sangat senyap.”

Dilaporkan tiada sesiapa yang cedera semasa penurunan belon itu. Anak kapal dan beberapa penduduk berhampiran kemudian membantu mereka.

Salah seorang individu di atas belon itu menambah di media sosial miliknya: “Juruterbang melakukan kerja yang hebat untuk membawa kami turun dengan selamat”.

Sumber: Mirror

Nurfatihah Shahirah Azzuddin