Siakap Keli
bayi meninggal dunia dalam perut
Gambar: Unit Khas Van Jenazah/Mr Wan Cai Official

Pilu, Bayi Meninggal Dunia Dalam Perut, Dipercayai Dibelit Tali Pusat

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Seorang bayi meninggal dunia dalam perut, dipercayai akibat dibelit oleh tali pusatnya sendiri yang ‘membaluti’ tubuhnya. Inilah detik pilu dihadapi sepasang suami isteri baru-baru ini.

Kehilangan seseorang merupakan detik paling menyedihkan buat manusia yang dicipta dengan jiwa dan emosi. Lebih-lebih lagi jika kehilangan itu melibatkan kalangan ahli keluarga sendiri.Hanya mereka yang melaluinya saja tahu betapa ‘sakitnya’ rasa di jiwa.

Memetik dialog sebuah filem tempatan, Bisik Pada Langit yang berbunyi, “Mak dengan bapak yang kehilangan anaknya, lebih dasyat kedukaannya daripada anak yang kehilangan mak bapak”. Menerusi dialog tersebut, dapatlah kita gambarkan betapa sedihnya kehilangan orang tersayang.

Walaupun begitu, kedukaan yang dialami seseorang tidak mampu diukur oleh manusia lain. Ini kerana segala yang tahu isi hati kita hanyalah Dia, Allah S.W.T. yang Maha Mengetahui segala-galanya. Satu soalan di sini, apakah anda pernah sedih kehilangan anak yang bakal lahir?

Menerokai kisah yang dikongsikan oleh Unit Khas Van Jenazah dan Mr Wan Cai Official, baru-baru ini mereka kongsikan satu kisah pilu sepasang ibu ayah yang hiba kehilangan bidadari syurga mereka semasa masih dalam rahim lagi.

Menurut perkongsian itu, bayi mereka yang diberi nama Nur Medina Auliya dilapor telah meninggal dunia ketika masih berada dalam kandungan. Difahamkan, ia dipercayai berpunca dari tali pusat yang membelit tubuhnya.

Lantaran itu, satu pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan jasadnya yang telah tidak bernyawa itu. Dalam masa sama, pembedahan itu perlu dilakukan untuk menyelamatkan seorang lagi bayi iaitu kembarnya sendiri.

Berikut di bawah adalah tulisan asal luahan sebak Mr Wan Cai Official mengenai kisah kematian bayi ini.

Gambar: FB Mr Wan Cai Official

KEMBAR!

Bidadari syurga Nur Medina Auliya..

Dikesan tidak bernyawa dalam kandungan ibunya…

Berpunca dari tali pusat yang terbelit di tubuhnya..

Pembedahan segera telah dilakukan bagi mengeluarkan jasadnya..

Juga bagi tujuan menyelamatkan seorang lagi kembarnya..

Alhamdulillah kembar baby Nur Medina berjaya diselamatkan..

Allah SWT izinkan kembarnya itu hidup di muka bumi..

Tetapi kehidupan baby Nur Medina telah Allah aturkan di syurga terindah..

Terpisah dari kehidupan dunia bersama keluarga..

Tersenyum kelak menunggu ibu bapanya di pintu syurga..

Pengurusan buat anak syurga ini telah kami urus menggunakan dana hasil dari infaq anda..

Pahala yang diterima kita kongsi bersama..

InsyaAllah.

Menerusi perkongsian itu juga, difahamkan kembar Nur Medina Auliya berjaya diselamatkan. Pembedahan itu dilakukan di Hospital Shah Alam. Hal ini diceritakan dengan lebih lanjut kepada Siakap Keli menerusi Inbox.

“Pada jam 10.00 pagi ibu bayi memang ada temu janji pada hari tersebut (16 Mei 2022, Isnin). Namun ketika doktor scan, didapati salah seorang dari bayi tersebut tidak bernadi dan lakukan pemeriksaan semula pada jam 1.00 petang dengan keputusan yang sama.

“Pada jam 3.00 petang, ibu bayi dimasukkan ke dalam bilik bedah untuk selamatkan bayi pertama. Ketika pembedahan sedang dijalankan, doktor dapati tali pusat telah terbelit pada badan bayi yang menjadi punca dia meninggal dunia,” jelasnya.

Difahamkan, pihak Mr Wan Cai Official bersama rakan-rakan telah menguruskan jenazah adik Nur Medina Auliya hingga selesai dikebumikan.

Kisah tersebut sungguh menyentuh hati kebanyakan netizen yang membacanya. Rata-rata mereka sebak dan sayu mengenangkan bayi suci ini yang tidak sempat membuka mata melihat dunia.

Lebih menyedihkan, dia terpaksa ‘pergi’ berseorangan ke alam seterusnya, tinggallah kembarnya yang masih hidup di dunia memulakan kehidupan yang penuh liku sebagai seorang manusia dan hamba kepada Pencipta.

Salam takziah buat adik Nur Medina Auliya. Pasti ada syurga tertinggi tersedia khas buatmu sayang. Al-Fatihah.

Sumber: Unit Khas Van Jenazah / Mr Wan Cai Official (Facebook)

Faiz Mustafa