Siakap Keli
Gambar: Gulf News

Sekian Lama “Single”, Wanita Bawa Sepanduk Cari Bakal Suami Dekat Lampu Isyarat

Menjadi lumrah, setiap manusia mempunyai keinginan untuk hidup berpasangan, menjadi teman ketika susah dan senang, ada disisi saat sedang terluka mahupun bahagia. Demi mendapatkan cinta yang tulus, manusia sanggup berusaha apa sahaja. Begitu juga dengan seorang wanita Sudan ini yang sanggup mengelilingi bandar Khartoum sambil membawa sepanduk semata-mata untuk mencari calon teman hidupnya.

Dilihat mengenakan hijab berwarna merah jambu, foto wanita berkenaan sambil berdiri di sebelah lampu isyarat serta memegang sepanduk telah menjadi tular dan bualan orang ramai di media sosial.

Melalui foto yang tular itu, jelas dapat dibaca tulisan yang ditulis di atas sepanduk yang dipegangnya.

“Saya mahukan pengantin lelaki. Saya nak kahwin. Saya terima poligami”.

Malah bukan itu sahaja, wanita itu juga turut menulis nombor telefon bimbitnya di bahagian bawah pada sepanduk itu. Tindakan wanita tersebut pantas menjadi bualan ramai, khususnya dalam kalangan penduduk tempatan di bandar tersebut.

Menurut laporan Gulf News, Sudan melaporkan penurunan ketara dalam kadar perkahwinan dan peningkatan yang ketara dalam bilangan perceraian.

Pada 2020, kadar perkahwinan menurun sebanyak 21 peratus berbanding 2018. Negara itu merekodkan 142,949 perkahwinan pada 2020 berbanding 180,563 pada 2018.

Situasi ini turut mendapat perhatian pakar yang merumuskan bahawa penurunan besar itu adalah disebabkan oleh banyak faktor, termasuk keadaan ekonomi Sudan yang turut terjejas dan juga kesan akibat wabak Covid-19.

Sementara itu, statistik mengejutkan dari badan kehakiman Sudan tahun lalu yang mana menunjukkan bahawa tujuh perceraian berlaku setiap jam di Sudan sekali gus menjadikan lebih 60,000 kes penceraian dilaporkan pada 2020.

Sumber: Gulf News

Nurul Nazihah