Siakap Keli
Sumber: Google

Merebak Di Eropah, Giliran Perancis ‘Dijangkiti’ Monkeypox, 3 Kes Dilapor Setakat Ini

Pihak berkuasa kesihatan di Perancis, Isnin lalu melaporkan bahawa terdapat tiga kes virus Monkeypox telah dikenal pasti di negara tersebut. Virus tersebut merupakan sebahagian daripada wabak virus membimbangkan yang menular di luar Afrika.

Walaubagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tidak ada sebab buat masa ini untuk menawarkan inokulasi besar-besaran. Sebaliknya, menggesa pematuhan kepada langkah menjaga kebersihan yang ketat untuk menghentikan penyebaran wabak tersebut.

Perancis dilapor mengesahkan kes pertama monkeypox di Wilayah Paris 20 Mei yang lalu. Pada Isnin pihak berkuasa kesihatan Sante Publique kemudian berkata sekurang-kurangnya tiga kes jangkitan dikenalpasti.

Virus ini adalah versi cacar yang lebih ringan, yang mana berjaya dihapuskan beberapa dekad yang lalu. Sehinggalah kini, kebanyakkan kes baharu yang disahkan hanya dilapor berlaku di kawasan negara-negara barat hutan hujan tropika dan tengah Afrika.

Bagaimanapun, penyebaran luar biasa jangkitan ini di negara-negara Eropah, serta di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia menimbulkan kebimbangan kepada pihak berkuasa kesihatan awam. Secara keseluruhan, lebih 100 kes yang disyaki dan yang disahkan sedang disiasat pihak berkuasa tempatan.

Merebak Dengan Mudah

Virus Monkeypox ini dilapor dapat merebak dengan sangat mudah melalui aktiviti seksual dan sentuhan droplet dengan individu yang sudah dijangkiti yang memiliki luka pada kulit, serta melalui barangan peribadi yang dikongsi seperti peralatan tempat tidur dan tuala.

Mereka yang dijangkiti biasanya mengalami demam yang kuat sehingga menggigil, sakit otot, nodus limfa yang bengkak, dan ruam seperti cacar air pada tangan dan muka, serta luka pada muka atau alat kelamin.

Kebanyakan individu yang dijangkiti pulih dalam masa dua hingga empat minggu tanpa perlu dimasukkan ke hospital. Setakat ini, pesakit-pesakit yang disahkan hanya mengalami jangkitan sederhana dan tiada kematian dilaporkan.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) memberi amaran bahawa wanita hamil dan orang yang mengalami gangguan imun perlu mengambil langkah berhati-hati.

ECDC mengesyorkan untuk membuat pengasingan terhadap semua kes sehingga luka-luka pada kulit hilang sepenuhnya. Tempoh inkubasi untuk virus itu berlangsung selama lima sehingga 21 hari.

Mengenal Pasti Penyebaran

WHO berkata wabak yang tersebar ketika ini sebagai “kejadian yang sangat luar biasa” dan dengan mengambil kira bahawa kes dilapor di banyak negara yang berbeza ini menunjukkan ada kemungkinan virus itu telah merebak secara senyap untuk beberapa waktu.

Malah, kebanyakan kes yang sudah disahkan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika. Ia berkemungkinan akibat aktiviti seksual dan dikaitkan dengan penganjuran dua festival di Sepanyol dan Belgium sebelum ini.

Tidak Perlu Vaksinasi Secara Besar-Besaran

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat berkata ia dalam proses mengeluarkan beberapa dos vaksin untuk digunakan dalam kes Monkeypox, walaupun WHO berkata bahawa wabak itu tidak memerlukan vaksinasi besar-besaran, terutamanya kerana bekalan segera vaksin dan antivirus agak terhad.

Dalam penilaian pertama wabak itu, ECDC berkata risiko perebakkan dalam populasi umum adalah “sangat rendah”, namun begitu risikonya agak tinggi bagi mereka yang mempunyai banyak pasangan seksual.

Pihak berkuasa kesihatan juga menyuarakan kebimbangan bahawa penganjuran acara dan pesta besar-besaran ketika musim panas ini boleh mempercepatkan penularan wabak.

Dalam pada itu, WHO menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan aktiviti seksual yang selamat, kebersihan yang baik serta kerap mencuci tangan untuk mengehadkan penularan.

Sumber: rfi.fr

Nurul Nazihah