Siakap Keli
tembakan sekolah texas
Gambar: USA Today

Tembakan Bersiri Di Sekolah, 18 Murid & Seorang Guru Terbunuh

Seramai 18 pelajar dan seorang guru dilapor maut dalam satu siri tembakan di sebuah sekolah rendah di Texas semalam, lapor USA today.

Menurut Gabenor, Gred Abbott, kejadian itu berlaku apabila seorang lelaki bersenjata api telah melepaskan tembakan dalam satu kejadian di Sekolah Rendah Robb, Uvalde.

Difahamkan, suspek berusia 18 tahun itu pada awalnya masuk ke sekolah tersebut yang mempunyai kira-kira 600 orang pelajar, sebelum bertindak melepaskan tembakan secara rambang.

Bagaimanapun, suspek dikatakan terbunuh selepas berbalas tembakan dengan pihak polis. Suspek turut mempunyai sebuah pistol dan senapang yang dibawa bersama, lapor Abbott.

Dalam insiden itu, beliau berkata, dua pegawai polis yang terlibat berbalas tembakan itu turut ditembak namun tidak mengalami kecederaan parah.

Pihak polis tidak mendedahkan motif kejadian, namun mengatakan bahawa suspek merupakan penduduk setempat. Bagaimanapun, identiti suspek itu telah dikenal pasti sebagai Salvador Ramos.

Gambar: USA Today

Sementara itu, ibu bapa yang panik dengan insiden itu bertindak menyerbu sekolah berkenaan pada sebelah petang untuk bertemu dengan anak-anak mereka.

Sebelum ini, angka kematian yang dilapor adalah seramai 14 orang murid dan seorang guru berusia 44 tahun.

Memetik laporan Mail Online, bagaimanapun angka kematian dikatakan meningkat kepada 18 orang selepas insiden itu. Pelbagai agensi penguatkuasaan turut terlibat dalam kejadian semalam.

Antara agensi penguatkuasaan terlibat termasuklah Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan dan Biro Penyiasatan Persekutuan yang berada di tempat kejadian petang Selasa.

Menurut ejen khas FBI, Carmen Portillo dalam satu kenyataan berkata,”Kami menyedari kejadian ini dan masih terlalu awal untuk menentukan penglibatan kami,”

Gambar: USA Today

Terdahulu, bandar Uvalde yang menempatkan 16,000 orang pernah berlaku tembakan empat tahun lalu apabila seorang lelaki bersenjata telah menembak mati 10 orang di Sekolah Tinggi Santa Fe di Houston.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata dalam satu sidang media bahawa insiden tembakan semalam merupakan tragedi terburuk pernah berlaku sejak hampir sedekad lalu.

Katanya, ia lebih buruk berbanding satu insiden hampir serupa melibatkan satu serangan mengejutkan di sebuah sekolah di Sandy Hook, Conneticut hingga menyebabkan seluruh sekolah di daerah itu terpaksa dikunci.

Sumber: USA Today

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?