Siakap Keli
kesan buruk pewangi tandas

Awas Kesan Buruk Pewangi Tandas, Guna 6 Cara Ini Untuk Elak ‘Toilet’ Busuk

Penggunaan bilik air setiap hari pasti akan menyebabkan masalah bau. Disebabkan itu, kita pasti mencari pelbagai alternatif untuk menghilangkan bau tersebut.

Sudah tentu segala ‘brand’ pewangi kita gunakan untuk menghilangkan bau busuk. Namun, adakah kita sedar terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan selain daripada penggunaan pewangi tandas?

Justeru, jom kita ikuti perkongsian menarik oleh portal kesihatan Hello Doktor bagi mengetahui kaedah lain menghilangkan bau tandas tanpa penggunaan pewangi berlebihan yang boleh mengundang kesan buruk.

Pewangi tandas, berkesan namun berbahaya?

Terdapat banyak jenis pewangi yang boleh digunakan di kamar mandi rumah anda. Antara yang paling popular adalah dalam bentuk cecair atau pepejal yang biasa dipraktikkan.

Sama ada perlu disemburkan atau diletakkan sahaja di tandas, ternyata ia adalah antara langkah yang paling mudah, pantas dan berkesan. Tapi, ramai juga percaya ia berbahaya.

Untuk pengetahuan anda semua, beberapa jenama pewangi tandas yang mungkin menggunakan dua bahan kimia ini iaitu Naftalin dan Paradiklorobenzin mempunyai kesan buruk.

Kedua-dua bahan kimia ini juga wujud di dalam ubat gegat atau ubat serangga ekoran mempunyai bau yang sangat kuat, pekat dan amat sukar dihilangkan meskipun telah dibersihkan.

Ia juga mungkin ada efek kepada manusia apabila tidak sengaja dihidu, disentuh atau dimakan!

Berikut adalah antara kesan buruk pewangi bilik air yang berisiko untuk berlaku kepada diri anda:

  • Menjejaskan sistem saraf pusat
  • Merosakkan sistem penglihatan
  • Merosakkan sistem pernafasan
  • Merosakkan sistem penghadaman
  • Kulit meradang atau melecur
  • Anemia hemolisis
  • Reaksi alergi
  • Kondisi sawan
  • Kematian

Apa alternatif efektif bagi pewangi tandas?

Memandangkan pewangi tandas anda itu mungkin berkesan tetapi berbahaya dalam masa yang sama, jadi anda harus cuba alternatif lain dalam usaha menyamankan dan mengamankan bilik air.

Jika anda mahu tandas yang lebih wangi, bersih dan selamat digunakan, boleh cuba langkah ini:

#1. Pengudaraan yang lebih baik

Pertama, kamar mandi anda perlu mempunyai pengudaraan yang lebih baik agar kuman, bakteria atau virus itu tidak mampu berkembang biak akibat daripada persekitaran lembap.

Apa yang anda boleh lakukan adalah memastikan wujud lubang, lohong atau saluran di tandas serta memastikan tingkap atau pintu tandas dibuka sepanjang masa apabila tidak diguna.

Bukan sahaja ia akan membunuh mikrobiom malah turut membuat bilik air anda itu lebih wangi.

#2. Sering mop lantai bilik air

Pelbagai macam kotoran dan bauan yang wujud di lantai kamar mandi anda dan ia boleh kekal tinggal di situ jika tidak dimop. Jadi, sila lebih kerap mop lantai tandas terutama di celah jubin kerana kawasan tersebut lebih tersembunyi.

#3. Kerap lap dinding bilik air

Bukan sahaja lantai, malah dinding kamar mandi juga punya banyak kotoran dan bauan sama ada daripada individu atau akibat sisa sabun yang digunakan. Maka, jangan lupa untuk cuci dinding untuk tandas lebih bersih dan wangi.

#4. Basmi semua karat yang wujud

Karat yang ada pada peralatan mandi seperti shower dan lain-lain alat besi akan mulai berkarat apabila ia tidak dijaga dan digris dengan baik serta mendatangkan implikasi.

Bukan sahaja ia akan merosakkan pandangan mata anda malah mengakibatkan bauan kurang enak. Gunakan cecair pembersih karat khusus atau cari cara lain untuk menghilangkannya.

#5. Buang sisa sabun yang ada

Benar jika anda sangka sabun itu memang tempatnya di tandas namun bukan sisanya! Sisa yang tertingal itu kelak akan jadi kerak dan berubah berbau busuk jika sudah terlalu lama.

Dalam pada itu, sisa-sisa sabun yang melekat pada lantai dan dinding bilik air akan menyebabkan permukaannya menjadi lebih licin sekali gus meningkatkan risiko kemalangan di tandas.

#6. Bersihkan penutup atau penapis

Cuba lihat pada penutup atau penapis saluran air di tandas anda. Jika diperhatikan, mungkin akan ada banyak sisa sabun, rambut, najis dan segala macam kotoran punca bau busuk.

Disebabkan itu, sila bersihkan penutup, penapis dan segala takungan air yang sudah lama tidak diselenggara. Ia juga boleh jadi tempat pembiakan mikrobiom atau vektor berbahaya.

Jika masih ingin guna pewangi tandas…

Kami tidak kata bahawa anda tidak boleh menggunakan pewangi tandas, sebaliknya anda hanya perlu mengelakkan produk yang mungkin mengandungi bahan kimia berbahaya.

Oleh itu, sila baca label lalu elak daripada menggunakan produk yang terkandung bahan seperti Naftalin dan Paradiklorobenzin serta bahan kimia lain yang anda kurang pasti.

Jadi, apa yang anda tunggu lagi? Amalkan langkah di atas ini agar tandas anda lebih wangi, bersih dan selamat!

Sumber: HelloDoktor

Nurlizah Khazani