Siakap Keli
virus HFMD
Kredit: Astro Awani

Doktor Dedah Kenapa Virus HFMD Lebih Banyak Menular Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Sejak Sabtu lalu, sebanyak 47,029 kes virus HFMD telah dilaporkan dan 94 peratus daripadanya melibatkan kanak-kanak berusia bawah enam tahun.

Menurut Dr. Vickneshwaran Muthu (Ketua Penolong Pengarah (Kanan), Sektor Kawalan Zoonosis, Bahagian Kawalan Penyakit, KKM), virus ini sama sekali berbeza dengan Coronavirus.

Virus HFMD (Hand, Foot, Mouth Disease) terhasil daripada kumpulan enterovirus yang majoritinya daripada Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71).

Gejala HFMD

Menurutnya, gejala HFMD dimulakan dengan simptom demam, diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Kanak-kanak juga berkemungkinan untuk mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan.

“Kita dapati bahawa HFMD itu boleh naik pada tahap hujan yang banyak.

“Selain itu, adanya kanak-kanak yang masih kecil dan belum ada imuniti terhadap kumpulan virus tersebut, sebab itu kita nampak lepas tiga tahun ada kes yang banyak dalam kalangan kanak-kanak bawah enam tahun”.

Faktor Penularan

Faktor kebersihan dan kontak rapat juga memainkan peranan dalam penularan virus HFMD, katanya.

Virus penyebab HFMD boleh terdapat di dalam kerongkong dan najis sehingga menyebabkan ia merebak melalui sentuhan terus dan air liur.

“Sesetengah kes HFMD boleh mengakibatkan ruam di bahagian punggung sehingga menyebabkan najis yang dikeluarkan dijangkiti dengan virus tersebut.”

Aspek kebersihan memainkan peranan yang penting dalam mengekang penularan virus HFMD. Para ibu bapa dinasihati untuk menjaga kebersihan persekitaran agar anak-anak tidak mudah dijangkiti.

Tambahan pula, ruam-ruam yang naik di badan anak-anak mengandungi cecair yang berisi virus tersebut. Justeru, setiap permainan yang disentuh oleh anak-anak haruslah dibersihkan agar ia tidak menjangkiti orang lain.

Sebab HFMD jangkit kanak-kanak

Virus HFMD bukan sahaja boleh dijangkiti kanak-kanak malah orang dewasa turut terkesan dengan virus tersebut. Ibu bapa perlu mengawasi perkembangan anak-anak agar mereka bebas dari virus HFMD.

Tambahan pula, daya tahan kanak-kanak yang rendah turut menyumbang kepada kecepatan virus itu merebak ke dalam tubuh badan kanak-kanak.

“Virus itu circulate dalam darah kita. Setiap seminit, lapan belas kali circulate, sebab itu ia cepat merebak.”

“Ibu bapa perlu mengawasi kesihatan kanak-kanak kerana gusar sekiranya berlakunya jangkitan ke paru-paru, jantung, mahupun otak. Ia akan mengakibatkan keradangan yang boleh mengancam nyawa.”

Namun, proses penyembuhan tidaklah terlalu lama. Semua kanak-kanak memiliki potensi yang tinggi untuk sembuh. Majoriti kes mengalami gejala ringan dan sembuh dalam masa 5-7 hari.

Sumber: Siakap Keli TV

Nurfatihah Shahirah Azzuddin