Siakap Keli
Gambar: newsvex.com

Tak Perlu Tunai & Kad, Mastercard Dilapor Bangunkan Kaedah Pembayaran Pakai ‘Senyuman’

Setiap kali kita berbelanja di pasaraya, kita sudah tentu memilih kaedah pembayaran yang lebih mudah khususnya kad, sama ada Visa ataupun Mastercard pada terminal bayaran untuk melakukan transaksi berbanding menggunakan tunai, kan? Boleh dikatakan, kaedah pembayaran ini adalah yang paling mudah untuk digunakan ketika ini.

Namun, pada zaman teknologi semakin berkembang pesat, syarikat Mastercard sedang melakukan ujian bagi memudahkan proses pembelian tanpa menggunakan kad atau wang secara fizikal.

Menarik bukan? Ya, untuk pengetahuan anda, teknologi yang dikenali sebagai Mastercard Biometric Checkout di bawah syarikat Mastercard ini akan membolehkan pengguna membayar dengan menggunakan senyuman, wajah atau hanya melambai.

Malah, syarikat berkenaan turut memuat naik satu video demontrasi yang menunjukkan kaedah pembayaran dengan hanya mengenakan senyuman ini.

Menurut Presiden Siber dan Kecerdasan Mastercard, Ajay Bhalla dalam rakaman video tersebut berkata kaedah ini dijangka akan mempercepatkan lagi urusan pembayaran berbanding cara pembayaran sekarang.

“Matlamat kami untuk program baharu ini adalah untuk memberikan pengalaman yang hebat kepada pengguna dan peniaga malah untuk memberikan yang terbaik dari segi keselamatan dan kemudahan,”ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, teknologi baharu ini akan memberikan sesuatu yang pantas kepada pengguna sekiranya membuat pembayaran di kaunter.

Syarikat itu juga akan menyingkirkan kata laluan dan hanya menggunakan identifikasi wajah kerana ia dianggap lebih selamat pada transaksi digital.

Menerusi kajian peringkat global daripada pihak Mastercard menunjukkan 74 peratus pengguna bakal menerima ciri teknologi baharu ini. Kos pasaran bagi teknologi biometrik tanpa sentuh ini mencecah 18.6 bilion dolar menjelang tahun 2026.

Bagaimanapun, Mastercard memaklumkan ujian pertama mereka akan bermula di Brazil dengan menggunakan aplikasi Payface.

Sumber: South China Morning Post

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang