Siakap Keli
kes cacar monyet sepanyol
Foto: Unidad de Microscopla via AP

Kes Cacar Monyet Dilaporkan Terus Meningkat 84 Kes Di Sepanyol, Kanada, Amerika Syarikat

MADRID, 27 Mei (Bernama) – Jumlah kes cacar monyet di Sepanyol meningkat kepada 84 pada Khamis selepas Kementerian Kesihatan melaporkan 25 lagi kes baharu.

Menurut kementerian, semua yang dijangkiti mengalami “gejala ringan” dan kini menjalani kuarantin di rumah.

Majoriti kes dilaporkan di Madrid selain di Kepulauan Canary, Basque dan Andalusia, lapor Xinhua.

Sementara itu di Kanada, Agensi Kesihatan Awam mengesahkan 10 lagi kes cacar monyet dilaporkan.

Menurut PHAC sebelum ini 16 kes telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 26 kes.

“Kemungkinan kes akan meningkat dalam beberapa hari akan datang memandangkan Makmal Mikrobiologi PHAC terus menerima sampel untuk diuji,” menurut PHAC dalam satu kenyataan.

Di Amerika Syarikat pula sembilan kes cacar monyet disahkan di tujuh negeri, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Sembilan kes itu dikesan di California, Florida, Massachusetts, New York, Utah, Virginia dan Washington.

Kes cacar monyet yang menjangkiti manusia kini sudah dilaporkan di lebih 20 negara di dunia.

Dalam laporan lain, KKM turut mewujudkan ‘Health Alert monkeypox’ dalam aplikasi MySejahtera yang akan diaktifkan mulai hari ini dengan pengembara yang tiba dari negara endemik monkeypox atau dari negara yang melaporkan kes monkeypox akan menerima Health Alert tersebut setiap hari selama 21 hari sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri.

Sumber: Bernama

Baca juga: Asteroid Dua Kali Ganda Besar Burj Khalifa Dijangka ‘Hampiri’ Bumi Hari Ini

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang