Siakap Keli
suami nak ceraikan isteri
Gambar hiasan

Suami Nak Ceraikan Isteri, Gara-gara Hanya Tahu Masak Mi Segera

Seorang lelaki di India dilapor mahu menceraikan isterinya gara-gara wanita itu hanya tahu memasak mi segera berjenama Maggi sahaja untuk dimakan sepanjang hari.

Memetik New Indian Express, hakim utama daerah dan mahkamah sesyen, ML Raghunath pada Jumaat lalu mengesahkan sebuah kes penceraian libatkan satu pasangan di Ballari, Karnataka yang disebabkan isu kecil.

Menurut Raghunath, lelaki tersebut mengadu isterinya tidak tahu memasak makanan selain mi Maggi. Katanya, sajian itu disediakan untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Si suami juga mengeluh bahawa isterinya pergi ke kedai dan hanya membeli mi segera kerana tidak pandai memasak hidangan lain.

Justeru itu, pasangan ini berpisah atas persetujuan bersama dan menamakan kes ini sebagai ‘kes Maggi’.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penyelesaian kepada pertikaian perkahwinan biasanya adalah sukar dan kebanyakan mereka akan merujuk semula kerana memikirkan masa depan anak-anak.

Pihaknya menggunakan sentimen untuk membawa kompromi dalam kalangan pasangan dan menyatukan mereka semula. Ia lebih kepada masalah psikologi berbanding fizikal.

Jelasnya, kes penceraian semakin meningkat secara drastik dari tahun ke tahun. Jadi, kerajaan India meletakkan beberapa undang-undang termasuklah pasangan yang ingin bercerai perlu tinggal bersama selama setahun.

Kes ini dianggap biasa di negara tersebut kerana mahkamah pernah menerima kes penceraian oleh pasangan hanya sehari selepas perkahwinan mereka kerana tidak bercakap dengan pasangan. Ada juga kes meletakkan garam di sebelah pinggan yang salah dan lain-lain lagi.

Dalam kebanyakan kes, walaupun pasangan sudah merujuk semula namun parut pertikaian mereka masih kekal.

Sumber: New Indian Express

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang