Siakap Keli
maut dalam kemalangan di kampar
Foto: PDRM Via Bernama

Dua Beradik Maut Dalam Kemalangan Di Kampar

IPOH, 3 Jun (Bernama) – Dua beradik maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 310.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Kampar awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata mangsa Nurqalesya Adriana Jaafar, 12, maut di lokasi kejadian manakala adiknya Muhammad Saiful Amry, 9, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tapah.

Katanya, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iswara dan sebuah treler kira-kira 2.30 pagi.

“Kereta itu dinaiki enam orang iaitu empat beradik serta bapa mangsa dan seorang wanita dipercayai tunang kepada bapa mangsa. Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Baling, Kedah ke Seremban, Negeri Sembilan untuk menghantar kesemua adik beradik itu ke rumah ibu mereka.

“Bapa mangsa Jaafar Ahmad, 49, mengalami kecederaan di kaki kanan manakala dua lagi anaknya masing-masing berusia 14 dan enam tahun hanya cedera ringan dan wanita berusia 24 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nazri berkata pemandu treler berumur 47 tahun pula tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata punca kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang