Siakap Keli
Anak kerat ibu
Gambar via Bernama

Anak Kerat Ibu 15 Bahagian, Polis Percaya Mungkin Ada Masalah Mental

Pihak polis percaya suspek yang membunuh ibu kandungnya sendiri dengan mengerat mangsa kepada 15 bahagian di Taman Kerian, Parit Buntar baru-baru ini mungkin mempunyai masalah mental, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pada awalnya pihak polis menjalankan siasatan berdasarkan laporan kes orang hilang yang dibuat oleh seorang lagi anak mangsa pada 28 Mei lalu.

Menurut laporan itu, ahli keluarga lain dimaklumkan oleh suspek bahawa mangsa dikatakan keluar dari rumah dan masih tidak pulang selepas itu.

“Ketua Polis Balai Parit Buntar telah pergi ke rumah ini dan ketika itu, keadaan rumah tidak terurus dengan bau tidak menyenangkan memandangkan mangsa dan suspek menjalankan urusan beli barang terpakai.

“Namun semalam, polis menerima panggilan daripada jiran yang mengatakan ada bau busuk luar biasa menyebabkan pihak polis sekali lagi ke tempat kejadian.

“Bila polis pergi ke bahagian belakang rumah itu, ada papan baru digunakan untuk menutup saluran lubang najis yang menempatkan mayat mangsa,” maklumnya, memetik laporan Sinar Harian.

Menurut Mior Faridalathrash, senjata yang digunakan suspek untuk membunuh ibunya turut ditemui menerusi siasatan pihak forensik.

Difahamkan, kepala mangsa dipukul terlebih dahulu oleh suspek sebelum dia bertindak mengerat anggotan badan mangsa kepada beberapa bahagian yang disebutkan.

“Polis percaya dan yakin suspek ada masalah mental. Suspek telah ditahan semalam dan polis akan mendapatkan perintah reman pagi ini.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan selepas siasatan selesai, polis akan menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata demikian ketika ditemui pemberita Sinar Harian di Program Malaysia Sports League daerah Kinta di X Park Sunway City pada Ahad.

Terdahulu, seorang lelaki dilapor disyaki membunuh ibu kandungnya dan membuang mayat ke dalam tangki kumbahan di Taman Kerian, Parit Buntar sebelum ditahan polis.

Laporan mengenai penemuan potongan daging yang dipercayai anggota badan manusia itu diterima oleh pihak polis pada Sabtu, 4 Jun semalam lebih kurang jam 3.30 petang.

Sumber: Sinar Harian

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.