Siakap Keli
dicekup khalwat
Kredit: Sinar Harian

Wanita Dicekup Khalwat Dengan Duda, Beri Alasan Nak Hadir Kelas Senam Aerobik

KOTA BHARU – Seorang wanita berstatus isteri orang ditangkap sedang berkhalwat dengan seorang lelaki berstatus duda di sebuah hotel bajet di sini pada Selasa, lapor Sinar Harian.

Pasangan itu masing-masing berumur 56 dan 65 tahun telah dicekup pada jam 11.30 malam oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah (BPUS) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik).

Ketua Penolong Pengarah BPUS Jaheaik, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, pasangan itu datang dari Selangor dengan menaiki bas ke bandar ini sebelum ditahan.

“Lelaki warga emas itu memberi alasan mahu membeli emas di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, wanita itu pula mendakwa ingin menghadiri kelas senam aerobik di Terengganu.

Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan dilepaskan dengan bon jamin sebelum diminta hadir ke Mahkamah Syariah mengikut tarikh yang ditetapkan.

Mohd Fadzuli menambah, dalam operasi yang bermula pada jam 5 petang hingga 1 pagi itu, pihaknya turut menahan pasangan kekasih yang berusia 20-an.

“Remaja itu, kita tahan di sebuah hotel bajet di sini. Dua pasangan ini akan disiasat mengikut Seksyen 50, Undang-undang Islam, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, katanya di Sinar Harian.

Sumber: Sinar Harian

Nurfatihah Shahirah Azzuddin