Siakap Keli
kelayakan piala asia
Gambar Via FAM_Malaysia

Kelayakan Piala Asia: Malaysia Mula Langkah Kanan, Berjaya Jinakkan Turkmenistan 3-1

Pasukan bola sepak Malaysia berjaya menundukkan Turkmenistan dalam perlawanan pertama kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 dengan jaringan 3-1.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi, pasukan negara mempamerkan aksi cemerlang dengan menjaringkan ketiga-tiga gol tersebut di separuh masa pertama.

Gol pertama perlawanan Kelayakan Piala Asia itu telah dijaringkan oleh Safawi Rasid pada minit ke-11 hasil daripada bola muntah yang ditepis oleh penjaga gol pasukan Turkmenistan.

Di minit ke-16 pula, Faisal Halim menjaringkan gol kedua untuk negara.

Manakala, Corbin Ong berjaya menambah derita pasukan Turkmenistan selepas berjaya menyumbat gol ketiga pada minit-minit akhir separuh pertama.

Gol tunggal untuk pasukan Turkmenistan pula dijaringkan oleh Altymrat Annadurdyyew pada minit ke-37.

Ia susulan kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan Malaysia.

Tiga mata penuh yang berjaya dikutip pada hari ini cukup untuk meletakkan Malaysia mendahului kumpulan E walaupun berkongsi mata dengan pasukan Bahrain.

Kemenangan ini menjadi penanda aras yang baik untuk pasukan negara kekal bersaing dalam kumpulan E bagi melayakkan diri ke Piala Asia.

Sementara itu, Harimau Malaya dijadual akan menentang pasukan Bahrain dalam perlawanan yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Malaysia dalam usaha merebut slot Piala Asia secara merit dan jika ini berlaku skuad bimbingan Kim Pan Gon bakal melakar sejarah baru bola sepak negara.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia pada tahun 1980 yang diadakan di Kuwait.

Ketika itu, Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama Korea Selatan, Kuwait, Qatar dan UAE.

Walaupun berada dalam kumpulan maut pada ketika itu, Malaysia berjaya menduduki tempat ketiga dengan mencatat satu kemenangan, dua keputusan seri serta satu kekalahan.

Malaysia berjaya mengumpul 4 mata namun gagal layak ke peringkat seterusnya.

BACA: Malaysia Bermula Garang Di ‘First Half’, Ini 3 Gol Menarik Yang Dijaringkan

Sumber: FAM_Malaysia

Sofea

There's always another side to every story