Siakap Keli
mayat bayi dalam bekas makanan
Gambar hiasan via CNN Indonesia

Mayat Bayi Enam Bulan Ditemui Dalam Bekas Makanan

Mayat seorang bayi berusia enam bulan ditemui dalam sebuah bekas makanan di bilik sewa dalam satu kejadian di Indonesia baru-baru ini.

Menurut CNN Indonesia, mayat bayi tersebut dijumpai oleh seorang wanita yang ketika itu mahu membersihkan bilik sewanya di Biringkanaya, Kota Makassar di Sulawesi Selatan.

Difahamkan, wanita (saksi) yang juga pemilik bilik sewa berkenaan terkejut dengan penemuan itu, lantas segera melaporkannya kepada pihak polis.

Menurut saksi kejadian, rumah sewa itu telah didiami oleh seorang wanita sejak tahun lepas yang dipercayai ibu kepada bayi tersebut.

Walau bagaimanapun, wanita itu dikatakan pulang ke kampung halaman sejak tiga bulan lalu dengan alasan mahu menjenguk orang tuanya yang sedang sakit.

Ketua Polis Unit Siasatan dan Jenayah, Nurman Matasa berkata kepada CNN Indonesia, “Betul, mayat bayi itu dibungkus dalam bungkusan.

“Ketika itu, saksi sedang membersihkan bilik sewanya yang dihuni suspek kerana ada penyewa lain yang mahu masuk ke situ.

“Kemudian, saksi menjumpai sebuah kotak yang mengeluarkan bau yang busuk, lalu membukanya dan menjumpai mayat bayi itu di dalam sebuah bekas makanan,” katanya, memetik CNN Indonesia.

Sehubungan itu, suspek kini sedang diburu polis dan siasatan lanjut mengenai identiti ibu bapa sebenar mayat bayi itu sedang dijalankan.

Sumber: CNN Indonesia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?