Siakap Keli
wanita maut dipijak gajah
Gambar Hiasan Via Kalinga TV

Wanita Maut Dipijak Gajah, Mayat Dihempap Oleh Gajah Sama Ketika Di Majlis Pengebumian

Tular di India, wanita maut dipijak gajah, mayatnya diserang sekali lagi oleh haiwan yang sama ketika pengebumian.

Seorang wanita berusia 70 tahun dilaporkan maut selepas dipijak oleh seekor gajah dan kemudian mayatnya dihempap oleh haiwan yang sama ketika di majlis pengebumiannya.

Memetik laporan Daily Mail, wanita tersebut diserang oleh gajah itu ketika sedang mengambil air dalam kejadian di kampung Raipal, India Timur pada Khamis lalu.

Mendiang kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital selepas mengalami beberapa kecederaan akibat dipijak oleh gajah itu.

Pegawai polis Rasgovindpur, Lopamudra Nayak berkata haiwan tersebut datang semula ke majlis pengebumian wanita itu pada waktu petang.

Ia dipercayai memijak dan menghempap mayat wanita itu untuk kali kedua ketika upacara terakhir pengebumian sedang berlangsung.

Bagaimanapun, keluarga mangsa dikatakan tetap meneruskan upacara tersebut selepas gajah berkenaan beredar dari situ.

Difahamkan, gajah tersebut telah ‘merantau’ dari Pusat Perlindungan Hidupan Liar Darma di negeri Jharkhand, iaitu 200 kilometer dari Raipal.

Sementara itu, kira-kira 100 orang dilaporkan telah terbunuh setiap tahun di India disebabkan oleh serangan gajah.

Susulan itu juga kerajaan India telah mengambil langkah membendung kejadian seperti itu dengan meletakkan kolar radio pada haiwan tersebut dan memaklumkan kepada penduduk tempatan melalui mesej teks apabila haiwan itu mengembara melalui zon yang dihuni manusia.

Pada 2021, tular satu video di negara tersebut yang menyaksikan seorang lelaki dihempap oleh seekor gajah.

Video yang dipercayai dirakam di daerah Dhubri itu memperlihatkan haiwan liar tersebut tiba-tiba muncul dari hutan dan mengejar mangsa.

Mangsa dilaporkan selamat akibat serangan itu tetapi mengalami kecederaan yang serius.

Sumber: Daily Mail

Sofea Shahira

There's always another side to every story