MELAKA – Seorang warga emas didakwa di mahkamah Sesyen atas pertuduhan kesalahan seksual termasuk berbogel di depan kanak-kanak perempuan pada bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 60 tahun itu, mengaku tidak bersalah sejurus selepas pembacaan tiga pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.
Insiden itu didakwa telah dilakukan oleh tertuduh antara pukul 3.30 hingga 5 petang di sebuah surau yang terletak di Limbongan pada 28 Mei lalu.
Selain itu, tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan yang sama dan pada hari yang sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan yang berusia 13 tahun antara pukul 5 petang sehingga 5.30 petang di dalam sebuah stor yang terletak di surau yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan sekiranya disabit kesalahan.
Bagi tuduhan yang ketiga, tertuduh telah didakwa di atas kesalahan melakukan amang seksual bukan fizikal bagi maksud seksual dengan berbogel di hadapan mangsa sama berusia 13 tahun di lokasi dan waktu sama.
Ekoran itu, warga emas itu telah didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam prosiding yang berasingan di hadapan Majistret Mazana Sinin, tertuduh mempunyai dua anak dan turut didakwa dalam milikannya terdapat video lucah dalam telefon bimbit.
Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Mustapa merayu agar jaminan rendah dapat diberikan dengan alasan tertuduh sudah berusia dan menderita penyakit gout.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM23,000 dan menetapkan tarikh 15 Julai sebagai sebutan semula keempat-empat pertuduhan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan Sharina Farhana Nor Sa’ari.
Sumber: Utusan