Siakap Keli
wanita hamil tujuh bulan ditemukan mati

Kanak-Kanak Perempuan Nyaris Diculik Ketika Pulang Mengaji

MELAKA, 17 Jun (Bernama) — Polis sedang menyiasat lanjut berhubung laporan seorang bapa yang mendakwa anak perempuannya nyaris diculik ketika pulang belajar mengaji di Kampung Krubong petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa berusia enam tahun bersama kakak dan sepupunya mendakwa didatangi seorang lelaki berjubah dan berkopiah putih yang menaiki kereta jenis Proton Persona berwarna perak.

“Menurut bapa mangsa yang berusia 45 tahun, anaknya mendakwa telah ditegur dan dipelawa oleh suspek untuk naik kereta lelaki itu sebelum merentap tangannya untuk masuk ke dalam kereta. Namun kakak mangsa dan sepupunya berjaya menghalang dan menyelamatkan kanak-kanak itu.

“Suspek lelaki itu terus melarikan diri manakala ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan kemudiannya berlari ke rumah ibu saudara mereka yang tidak jauh dari tempat kejadian untuk menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Christopher berkata bapa mangsa juga memaklumkan terdapat orang awam yang melihat kenderaan dan nombor pendaftaran kereta suspek namun hasil semakan dua jenis nombor yang  kemungkinan dicam saksi itu adalah palsu dan tidak sama dengan jenis kenderaan digunakan suspek.

“Hasil semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui sistem juga mendapati dua jenis nombor pendaftaran kenderaan itu berdaftar atas kenderaan jenis Nissan Cefiro berwarna biru dan motosikal jenis Honda.

“Namun saksi yang berselisih dengan kereta suspek itu juga mengesahkan ia adalah Proton Persona berwarna perak dan bercat hitam di bahagian pintu pemandu,” katanya.

Christopher berkata orang ramai yang mempunyai maklumat dan menyaksikan kejadian itu diminta tampil di balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

— BERNAMA

Faiz Mustafa