Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pelajar OKU Dapat 5A SPM, Bukti Kekurangan Diri Bukan Penghalang

Nur Adnin
pelajar oku dapat 5a spm
Gambar: TikTok
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Pelajar OKU dapat 5A dalam SPM, bukti kekurangan yang ada pada dirinya bukanlah penghalang untuk berjaya.

Kekurangan bukan pengalang. Itulah perumpamaan paling tepat boleh ditujukan buat pelajar istimewa yang diceritakan dalam artikel ini. Namanya Siti Nur Muzainah Muhammad Noor, dilahirkan pada 7 Disember 2004 di Hospital Kulim, Kedah.

Anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini menjalani peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalumpang, Hulu Selangor dalam aliran perakaunan.

Difahamkan, Muzainah mengalami kekurangan fizikal sejak lahir iaitu bahagian kaki dan tulang peha yang tidak sama. Walaupun diuji sebegitu, namun sokongan mak dan abahnya dalam memberi perhatian penuh sangat berkesan dalam kehidupannya.

Difahamkan, beliau tidak dihantar ke tadika, sebaliknya diberikan pendedahan awal di rumah sehinggalah dihantar ke sekolah rendah. Setiap hari, emaklah yang menghantarnya ke sekolah.

Disebabkan kekurangan sebegitu, pergerakannya sedikit terbatas, beliau masih lagi boleh berjalan namun tidak boleh terlalu lama kerana ia akan memberi rasa sakit di bahagian pehanya.

Jika ada kelas di makmal sains atau di perpustakaan pula, Muzainah akan merangkak naik ke tangga menggunakan tangan dan kaki (bersama sarung tangan).

Bagi pergerakan lain di luar sekolah pula, beliau akan bergerak naik kerusi roda. Alhamdulillah, baru-baru ini Lembaga Zakat Selangor sumbang sebuah kerusi roda elektrik untuknya lebih mudah bergerak.

Detik bersejarah

Detik ‘bersejarah’ yang dihadapi pelajar istimewa ini adalah cabaran belajar dalam keadaan pandemik COVID-19, serta format subjek yang berubah menjadi sedikit sukar. Bagaimanapun, semua cabaran itu dapat dihadapi dengan mudah.

Hasilnya, keputusan SPM 2021 yang keluar baru-baru ini, Muzainah berjaya mendapat 5A daripada sembilan subjek iaitu Bahasa Malaysia, Sejarah, Sains, Matematik dan Pendidikan Islam.

Lebih mengejutkan, bagi subjek matematik, beliau hanya mendapat keputusan gagal ketika peperiksaan percubaan. Namun keputusannya meningkat cemerlang apabila mendapat A dalam SPM sebenar.

Difahamkan, walaupun kelainan upaya, Muzainan tetap aktif di sekolahnya. Selain bertugas sebagai pengawas pusat sumber sekolah (Ketua Biro NILAM), beliau juga mewakili sekolah untuk pertandingan pidato Bahasa Melayu, pengucapan awam (public speaking), setiausaha Persatuan Bahasa Melayu dan ahli jawatankuasa Puteri Islam.

Tips kejayaan

Muzainah mengamalkan enam perkara yang menjadikannya insan berjaya dalam pelajaran. Pertama, beliau sentiasa yakin dan percaya akan segala pemberian daripada Allah SWT.

Kedua ialah konsistensi. Beliau mengamalkan belajar secara konsisten secara dalam talian. Ketiga, tidak ‘berhenti lama’ dalam belajar, sebaliknya hanya rehat sebentar dan sambung ulang kaji secara konsisten.

Keempat, sentiasa positif. Muzainah mengamalkan sikap bersangka baik dan optimis dalam apa juga keputusan dalam peperiksaan mahupun keadaan tertentu.

Kelima, hormat. Beliau begitu menghormati ibu bapa dan gurunya supaya ilmu yang dipelajari berkat. Malah, beliau juga meminta restu daripada mereka untuk belajar dan jalani peperiksaan dengan tenang.

Keenam dan terakhir, jaga kesihatan fizikal dan mental. Walaupun sosok tubuh ini berbeza seperti kita, namun Muzainah kerap bersenam di luar rumah sambil ‘menghayati’ rythm muzik menerusi Youtube.

Sumber: TikTok youngmedina03