Siakap Keli
maut tercampak 10km
Kredit: Sky News

Peluncur Layang-layang Maut, ‘Dicampak’ Puting Beliung Mini Sejauh 10km 

PERANCIS – Seorang lelaki warga Perancis maut ketika melakukan sukan luncur layang-layang apabila puting beliung secara tiba-tiba muncul di pantai tersebut sehingga menyebabkan dia tercampak 10km mengenai tingkap sebuah restoran.

Menurut Sky News, tiupan angin kencang itu telah mengakibatkan mangsa yang berusia 31 tahun terhempas ke sebuah bangunan di Villers-sur-Mer, kira-kira 10 KM (enam batu) barat Deauville dari pantai Normandy.

Difahamkan, lima orang dilaporkan cedera akibat terkena projektil yang dilemparkan ke udara pada petang kejadian.

Majlis perbandaran menyatakan bahawa seramai 15 orang terpaksa dipindahkan buat sementara waktu ekoran insiden tersebut.

Fenomena puting beliung mini itu sempat dirakam, di mana, ia memaparkan pejalan kaki dan para pengunjung berlindung di sebuah bangunan yang terletak di pinggir pantai tersebut.

Puting beliung itu dilaporkan berlarutan selama 20-25 minit di Cote Fleurie antara Ouistreham dan Deauville.

Menurut portal Francebleu, fenomena alam itu terjadi di luar jangkaan pakar meteorologi.

“Ia adalah fenomena dahsyat yang tidak pernah kami alami di pantai ini”, kata datuk bandar Villers-sur-Mer, Thierry Granturco.

Kemudahan awam serta objek daripada restoran berdekatan turut dilaporkan diterbangkan oleh puting beliung tersebut.

Beliau berkata, peluncur yang maut itu merupakan seorang lelaki dari Paris yang juga mempunyai rumah di pantai Normandy.

Datuk Bandar Granturco turut menjelaskan, “mangsa telah diterbangkan dari air lalu tercampak sehingga mengenai sebuah restoran, di mana dia meninggal dunia.”

Sumber: Sky News

Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10% Ramadan Ini

Nurfatihah Shahirah Azzuddin