Siakap Keli

Harta Dianggarkan Lebih 400 Bilion Dollar, Kenali Raja Emas, Mansa Musa Dipercayai Manusia Terkaya Sepanjang Zaman

Pada pandangan mata, kita dapat lihat antara manusia yang terkaya di dunia masa kini adalah Bernard Arnault yang merupakan pemilik syarikat  Louis Vuitton Moet Hennessy (LVMH), Sephora dan 60 lagi jenama lain yang terkenal di dunia. Selain itu, nama seperti Elon Musk yang memiliki Tesla dan SpaceX selain Jeff Bezos yang memiliki Amazon atau Jack Ma, pemilik kepada Alibaba juga dilihat sebagai antara figura utama kekayaan dunia.

Namun, mengikut sejarah, harta-harta yang dimiliki oleh nama-nama yang disebutkan di atas belum pun mampu untuk menyaingi manusia terkaya sepanjang zaman yang pernah direkodkan sejarah.

Memetik BBC, gelaran tersebut dipercayai milik Mansa Musa, pemerintah Afrika Barat pada abad ke-14 yang begitu kaya dengan sikap murah hatinya hingga pernah hampir menghancurkan ekonomi sebuah negara.

“Sangat sukar untuk maramal betapa kayanya Musa dan betapa besar kuasanya yang sebenar,” menurut Rudolph Butch Ware, profesor sejarah di Universiti California.

Walaupun penyelidik menganggarkan kekayaan yang dimiliki beliau mungkin melebihi 400 bilion Dollar, namun Mansa Musa sebenarnya ‘lebih kaya daripada apa yang mampu digambarkan oleh sesiapa’, menurut sorang penulis terkenal Jacob Davidson, yang menghasilkan sebuah buku tentang raja Afrika itu ketika ditemu bual oleh Money.com pada tahun 2015.

The golden king

Mansa Musa dilahirkan pada tahun 1280 dalam salah silah keluarga pemerintah. Saudaranya, Mansa Abu-Bakr, telah memerintah empayar Mali sehingga pada tahun 1312 dan turun takhta untuk melakukan ekspedisi.

Mansa dipercayai adalah sebuah gelaran, menyamai gelaran Sultan.

Menurut ahli sejarah Syria Abad ke-14 Shibab al-Umari, Mansa Abu-Bakr sangat taksub dengan Lautan Atlantik dan apa yang ada di sebaliknya. Baginda dilaporkan telah memulakan ekspedisi untuk menjelajah laut itu bersama armada 2,000 kapal dan ribuan lelaki, wanita dan juga hamba. Mereka belayar dan tidak pernah kembali.

Beberapa orang pakar termasuk pakar sejarah Amerika, Ivan Van Sertima berpendapat bahawa ekspedisi Mansa Abu-Bakr telah sampai ke Amerika Selatan namun tidak ada sebarang bukti untuk meyokong kenyataan itu.

Walau apa pun, selepas ‘kehilangan’ Mansa Abu-Bakr, Mansa Musa telah mewarisi kerajaan dan menjadi penguasa empayar Mali seterusnya. Di bawah pemerintahannya, kerajaan Mali berkembang dengan sangat ketara. Baginda telah menawan dan mengambil alih 24 bandar termasuklah Timbuktu.

Kerajaan Mali terbentang luas kira-kira 2,000 batu dari Lautan Atlantik hingga ke Niger moden yang kini dikenali sebagai Senegal, Mauritania, Mali, Burkina Faso, Niger, Gambia, Guinea-Bissau, Guinea dan Ivory Coast.

Saiz tanah yang luas bermakna Mali juga menguasai segala hasil mahsul yang terkandung di dalamnya seperti emas dan juga garam. Semasa pemerintahan Mansa Musa, empayar Mali telah menyumbang hampir separuh daripada emas ‘Old World’s’ menurut Muzium British.

Dan itu semua adalah kepunyaan raja

“Sebagai pemerintah, Mansa Musa mempunyai akses hampir tanpa had kepada sumber kekayaan yang paling bernilai di dunia pada Zaman Pertengahan.

“Pusat perdagangan utama yang berdagang emas dan juga barangan lain turut berada dalam wilayahnya dan Mali memperoleh kekayaan daripada mereka,” Kathleen Bickford Berzock, pakar dalam seni Afrika di Muzium Seni Blok, Universiti Barat Laut, lapor BBC.

Perjalanan ke Mekah

Walaupun empayar Mali adalah ‘rumah’ kepada begitu banyak emas, namun kerajaan itu tidaklah terkenal sehingga Mansa Musa, seorang Muslim yang taat memutuskan untuk berkunjung ke Mekah melalui Gurun Sahara dan Mesir bagi menunaikan haji.

Raja itu difahamkan telah meninggalkan Mali dengan konvoi 60,000 0rang. Baginda membawa hampir keseluruhan isi istana termasuk tentera, penghibur, pedagang, pemandu unta dan 12,000 hamba bersama kereta yang dipenuhi dengan kambing dan juga biri-biri sebagai sumber makanan.

Ia diibaratkan sebagai sebuah bandar yang bergerak di atas padang pasir yang terbentang luas. Pemandangan itu jadi lebih menarik apabila konvoi itu tiba di Kaherah, Mesir di mana mereka benar-benar boleh mempamerkan kekayaan yang dimiliki.

Kejatuhan emas di Kaherah

Mansa Musa telah meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan disana sehingga al-Umari yang melawat kota itu selepas 12 tahun berkata, orang-orang di sana masih bercakap tentangnya.

Baginda memberi sedekah emas kepada penduduk-penduduk Kaherah selama tiga bulan baginda tinggal di sana sehingga menyebabkan harga emas jatuh menjunam seterusnya meranapkan ekonomi Mesir selama 10 tahun akibat inflasi.

Sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di AS, SmartAsset.com telah menganggarkan bahawa disebabkan susut nilai emas, kunjungan Mansa Musa telah membawa kerugian besar hingga RM6.6 bilion ekonomi di seluruh Timur Tengah.

Dalam perjalanan pulang semula ke tanah air, Mansa Musa sekali lagi melalui Mesir dan menurut beberapa sumber, Baginda cuba untuk membantu ekonomi negara tersebut dengan mengeluarkan semula sebahagian emas yang disedekahkannya dengan meminjam semula dengan kadar faedah daripada agensi pinjaman di Mesir.

Baginda juga dikatakan mengeluarkan terlalu banyak emas hingga habis emas yang dibawa bersamanya.

Lucy Duran dari School of African and Oriental Studies di London berkata, sifat terlalu pemurah Mansa Musa turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengikutnya.

“Baginda memberikan begitu banyak emas Mali di sepanjang jalan sehingga jelas bahawa ada pengikutnya itu menzahirkan rasa tidak suka kerana menganggap itu adalah perkara yang mensia-siakan sumber tempatan di luar kawasan empayar,” jelasnya, lapor BBC.

 Pendidikan dari hati

Tidak dinafikan bahawa Mansa Musa telah memberikan terlalu banyak emas ketika kunjungan hajinya. Namun, kemurahan hatinya yang berlebihan telah menarik perhatian dunia.

Mansa Musa telah meletakkan Mali dan dirinya pada peta secara harfiah. Dalam peta Catalan Atlas dilukis pada 1375, pelukis peta berkenaan melakar seorang raja Afrika duduk di atas takhta emas di atas Timbuktu sambil memegang sekeping emas pada tangannya.

Timbuktu menjadi El Dorado Afrika dan orang ramai datang sama ada jauh atau dekat untuk melihat kekayaan itu.

Selain memiliki kekayaan yang luar biasa, Mansa Musa sebenarnya banyak membangunkan wilayah-wilayah dikuasainya antaranya menjadi pelopor kepada institusi pendidikan di benua Afrika dengan membina sekolah dan pusat sumber. Baginda juga membina masjid-masjid dengan diantaranya ada yang masih teguh berdiri sehingga ke hari ini.

Pada Abad ke-19, ia masih mempunyai status mitos sebagai sebuah bandar emas yang hilang di pinggir dunia, menjadi suar yang menarik pemburuan dan peneroka Eropah yang kaya untuk berkunjung ke benua tersebut.

Mansa Musa kemudiannya dilaporkan mangkat pada 1337 pada usia 57 tahun. Anaknya menyambung legasi Baginda sebagai penguasa Empayar Mali, namun tidak mampu bertahan lama apabila pergolakan dalaman yang berlaku menyaksikan empayar tersebut berpecah dan melahirkan negara-negara baharu.

Seterusnya, dengan kehadiran bangsa Eropah ke bumi Afrika, ia sekaligus menjadi penamat riwayat kepada empayar berkenaan untuk bangkit kembali.

Para pengkaji berpendapat, jika penakluk Eropah tiba di benua tersebut ketika ia berada di bawah kekuasaan Mansa Musa, yang mempunyai kekuatan ekonomi dan ketenteraan yang luar biasa, sejarah yang tertulis tentang benua tersebut mungkin berbeza dari apa yang kita ketahui hari ini.

 

 

BACA: Anak Malaysia Cipta Nama, Jadi Penasihat Pasukan 20 Jurutera Pelbagai Negara Bina Roket Aquilo Di Belanda

Sumber: BBC

Faiz Mustafa