Siakap Keli

Anak Malaysia Cipta Nama, Jadi Penasihat Pasukan 20 Jurutera Pelbagai Negara Bina Roket Aquilo Di Belanda

Seperti yang kita semua sedia maklum, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baharu sahaja diumumkan minggu lepas. Bagi adik-adik yang menduduki peperiksaan berkenaan, sudah tentu ada suka duka disebalik keputusan yang diterima.

Apa pun keputusan yang diperolehi, ingatlah dunia belum lagi berakhir dan ada beribu-ribu jalan untuk menjadi manusia berjaya dan berguna. Namun, kebiasaannya jika berjaya mencatatkan keputusan yang cemerlang, pasti ramai yang memasang angan untuk melanjutkan pelajaran terus ke menara gading, menyambung diploma atau asasi di universiti-universiti impian kan?

Tak ramai pun sebenarnya yang memikirkan, jauh sekali memilih, untuk meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran. Walaupun banyak pendedahan yang dibuat tentang masa depan kursus kemahiran kemahiran di Malaysia, masih ada cakap-cakap yang beranggapan bahawa jika ke universiti masa depan akan lebih terjamin.

Ya, sudah tentu betul. Namun, tiada kurangnya jika anda memilih untuk menyambung pengajian anda dalam bidang kemahiran memandangkan banyak ikon yang dilahirkan daripada institut-institut kemahiran dalam negara yang hari ini mengecapi pelbagai kejayaan dan memiliki kerjaya yang gemilang di alam pekerjaan.

Salah seorangnya adalah seorang pemuda genius bernama Yusuf Yusri yang kisahnya kami mahu kongsikan dengan anda, khususnya adik-adik lepas SPM di luar sana.

Siapa Yusuf Yusri ini? Untuk pengetahuan anda semua, beliau merupakan salah seorang produk institut kemahiran dalam negara dalam bidang Kejuruteraan Aeronautik yang hari ini berada di bumi Belanda.

Beliau berada di sana sebagai salah seorang watak penting dan penyumbang utama kepada pembangunan roket Aquilo. Disana, beliau bertindak sebagai Penasihat dan juga Jurutera kepada pembangunan roket berkenaan. Bukan calang-calang orang tau.

Walaupun hari ini beliau merantau di bumi asing, namun asas pendidikannya dibina di sini di tanah air sendiri, lebih tepat lagi dalam bidang kemahiran. Sebelum ke Eropah, beliau terlebih dahulu membuat persediaan dengan mendaftarkan diri di German-Malaysia Institute (GMI). Dari 2015 hingga 2017, beliau mengikuti Program Persediaan A-Level Jerman dan bidang Kejuruteraan.

Seterusnya pada 2017, beliau menyambung pengajian ke Jerman dengan memilih Hochschule Merseburg sebagai taman ilmu seterusnya. Di sini, beliau menghabiskan masa selama setahun dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal. Sebaik sahaja tamat pengajian disitu, beliau kemudian sekali lagi mendaftarkan diri di institut pengajian di Jerman dengan kali ini memilih Technische Hochschule Wildau sebagai wadah mencari ilmu selanjutnya. Selama setahun, saudara Yusuf melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu kemahiran dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa, Aeronautical dan Astronautical.

Penasihat Pasukan 20 Jurutera Pembina Roket

Pada 2019, beliau kemudian merantau sekali lagi kali ini ke Belanda pula bagi mengikuti pengajian dalam bidang yang sama kali ini di Universiti Sains Gunaan Inholland hingga sekarang. Disinilah beliau terlibat secara aktif sebagai Jurutera dan juga Penasihat kepada pasukan pembangunan Roket Aquilo VII.

Beliau bersama-sama dengan 19 orang lagi ahli pasukan lain yang hadir daripada latar belakang dan negara yang berbeza bersama-sama menghasilkan roket berasaskan bahan ringan bagi mengoptimumkan prestasi dan penggunaan bahan bakar. Mei lalu, roket berkenaan berjaya dilancarkan bagi mengumpul data berkenaan suhu, tahap radiasi dan tekanan di udara.

Disana menurut saudara Yusuf, impian dan tujuannya untuk menyambung pelajaran di luar negara sudah tercapai. Mengambil kira saiz pasukan yang disertainya, beliau belajar banyak perkara terutamanya dalam memantapkan lagi ilmu kemahiran yang dimilikinya.

Bidang Kemahiran Pun Boleh Berjaya Di Luar Negara

Setelah melihat latar belakang dan pencapaian hebat saudara Yusuf, sudah tentu ramai yang bercita-cita mahu mengikuti jejak langkah beliau kan?

Sebenarnya, anda semua mampu menjadi seperti Yusuf dan terlibat dengan pelbagai projek sains di luar negara. Caranya adalah dengan membina asas-asas kemahiran sebaik mungkin di usia muda terlebih dahulu.

Bagaimana caranya? Mudah sahaja, luangkan masa anda terutama adik-adik lepasan SPM di Ekspo Institut Pendidikan TVET@KPLB Pilihan Kemahiran Anda 2020 yang diadakan di Dataran Aman Mall di Sungai Petani, Kedah, bermula 23 hingga 25 Jun ini.

Rugi sebenarnya kalau tak datang ke ekspo ini sebab ada banyak aktiviti yang menarik yang boleh mengubah kehidupan masa depan anda. Antaranya ada pengambilan terbuka dan temuduga pekerjaan di khemah industri. Selain itu, bagi bakal-bakal pelajar, disediakan beberapa sesi webinar berkaitan kemahiran untuk pendedahan yang lebih lanjut dalam bidang ini. Bukan itu saja, ada juga pertandingan kemahiran dan demonstrasi kemahiran yang sesuai untuk anda semua.

Sepertimana tahun lepas, KPLB sekali lagi menganjurkan TikTok Challenge sempena Ekspo TVET@KPLB 2022. Kali ini hadiah utama sebanyak RM1000 beserta dengan hadiah misteri.

Bak kata pujangga, orang yang berjaya adalah orang yang tidak beralasan. Maka, tidak ada alasan untuk tidak menyertai ekspo yang diadakan ini. Di sini, anda juga akan didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai bidang teknikal dan vokasional.

Pelbagai aktiviti disediakan untuk anda terokai, kenali potensi dan minat anda. Malah, pelbagai institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional turut terlibat. Antaranya adalah Kolej RISDA, GIATMARA, KEMAS, Universiti Kuala Lumpur, GMI, MARA-Japan Industrial Institute (MJII), Institut Kemahiran Tinggi Perda (PERDA-TECH) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).

Ajak rakan-rakan anda, siapa tahu perjalanan seribu batu anda semua mungkin bermula daripada langkah pertama di sini. Untuk maklumat lanjut, layari https://ekspotvet.rurallink.gov.my/.

#PilihanKemahiranAnda
#EkspoTVET@KPLB
#SayaBudakTVET
#KPLB

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.