Siakap Keli
boleh ke beg udara berfungsi
Gambar: Your Mechanic/ howstuffworks

Boleh Ke Beg Udara Berfungsi Kalau Tak Pakai ‘Seatbelt’? Ini Jawapannya

Dua ciri keselamatan penting dalam kereta, boleh ke beg udara berfungsi jika tidak pakai tali pinggang keledar?

Hampir setiap hari kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku di seluruh dunia dan disebabkan itu juga sistem keselamatan pada kereta sentiasa dinaik taraf bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan yang selamat.

Salah satu ciri keselamatan yang dipasang pada kereta masa kini adalah beg udara atau juga dikenali sebagai Supplementary Restrain System (SRS).

Ia akan mengembang sebaik sahaja kereta mula perlahan dalam kemalangan dan akan mengempis apabila kepala anda menekannya.

Perlu diingatkan di sini, jika beg udara itu tidak mengempis, kepala anda mungkin akan melantun semula ke belakang dan berisiko menyebabkan kecederaan yang serius.

Dalam satu laporan yang diterbitkan oleh Agensi Keselamatan Jalan Raya Amerika Syarikat pada Januari 2014, jumlah kematian disebabkan impak sampingan dalam kemalangan didapati berkurang sebanyak 41.3 peratus kerana penggunaan beg udara.

Sementara itu bila bercakap mengenai beg udara, jangan dilupa pada tali pinggang keledar yang menjadi ciri keselamatan utama pada kenderaan.

Beg udara juga ‘bekerjasama’ dengan tali pinggang keledar untuk membantu melindungi anda dari mengalami kecederaan yang serius.

Bagaimanapun, bolehkah beg udara berfungsi dengan baik tanpa tali pinggang keledar?

Boleh dikatakan bahawa tali pinggang keledar berfungsi sebagai sistem ‘penghadang’ utama.

Manakala beg udara pula adalah sistem ‘penghadang’ tambahan atau sekunder.

Untuk pengetahuan anda, tali pinggang keledar dan beg udara disambungkan bersama oleh satu unit dalam kenderaan yang dipanggil modul beg udara SRS.

Lampu beg udara dalam kenderaan terikat dengan sistem tersebut.

Sesetengah pengeluar automotif telah memprogramkan Electronic Control Unit (ECU) untuk membuat keputusan sama ada untuk menggunakan beg udara atau tidak bagi mengelakkan kecederaan kepada pengguna.

Berikutan itu, pengguna kenderaan tersebut perlu memakai tali pinggang keledar agar beg udara dapat berfungsi dengan betul semasa kemalangan.

Pun begitu, dalam kebanyakan kenderaan, beg udara masih boleh berfungsi sama ada pengguna memakai tali pinggang keledar atau tidak.

Tetapi kecederaan yang lebih serius mungkin akan berlaku jika anda tidak memakai tali pinggang keledar dan ‘terhentak’ pada beg udara.

Sumber: Safety Restore, Carwow

Sofea

There's always another side to every story