Seorang lelaki mendakwa dirinya mengalami ketagihan air tin minuman ringan bergas dan mengambil minuman berkenaan sebanyak 30 tin sehari, dalam tempoh 20 tahun lalu.
Menurut Daily Star, dalam tempoh berkenaan, Andy Currie, 41, dikatakan telah meminum lebih kurang 219,000 air tin bergas, bersamaan dengan pengambilan kira-kira 8,000kg gula serta telah melaburkan sebanyak RM37,939 setahun hanya untuk minuman tersebut.
Menurut Andy, dia amat menggemarinya lebih-lebih lagi apabila dihidangkan dalam keadaan sejuk.
“Saya sentiasa menyukai rasa air tin bergas yang sejuk. Tidak ada apa yang dapat menandinginya dan saya alami ketagihan. Bekerja di waktu malam membuatkan saya perlu mengambil minuman bergula untuk terus kekal bertenaga.
“Saya mampu menghabiskan minuman ringan bergas bersaiz 2 liter sebanyak empat hingga lima botol setiap hari. Kerana saya bekerja di pasaraya, saya hanya boleh membelinya selepas bekerja dan membawanya pulang.
“Sejujurnya, ia telah menelan kos yang banyak. Dengan wang yang dibelanjakan, saya boleh membeli sebiji kereta setiap tahun. Sebaik sahaja bangun dari tidur, saya terus ke peti sejuk dan tuangkan segelas besar minuman ringan, begitulah sepanjang hari,” jelasnya.
Namun, selepas mendengar nasihat dan mendapatkan pemeriksaan doktor, dia mengambil keputusan untuk menamatkan amalan pemakanan amat tidak sihat tersebut kerana khuatir dengan ancaman penyakit kencing manis yang serius.
Andy kemudian mencuba pelbagai kaedah rawatan untuk menghilangkan ketagihan tersebut antaranya dengan mendapatkan rawatan hipnotis serta terapi daripada pakar terapi berpangkalan di London, David Kilmurry.
“Saya dan David hanya berhubung melalui dalam talian dan melakukan sesi hipnoterapi selama lebih kurang 40 minit. Saya tak tahu apa yang dia buat atau cakap, tapi selepas itu saya tidak lagi rasa nak minum minuman tersebut,” jelasnya, lapor Daily Star.
Pada awalnya, Kilmurry terkejut dengan pengakuan Andy yang minum 10 liter air minuman ringan bergas sehari.
“Itu adalah ketagihan gula yang paling teruk saya pernah dengar. Ketagihan ini sangat bahaya dan akan memberikan tekanan kepada organ dalaman badan yang amat penting.
“Andy merupakan pengidap penyakit pra-diabetes dan perlu mengubah cara pemakanan dengan cepat sebelum ia menyerang jantung dan berkemungkinan menghidap kanser pankreas.
”Sejak saya merawatnya, saya gembira dengan perubahan Andy yang telah mula meminum minuman yang sihat,” jelas Kilmurry.
BACA: Billie Eilish Bakal Adakan Konsert Di Kuala Lumpur, Tiket Dijual Mulai Esok
Sumber: Daily Star