Siakap Keli
Gambar: WWMT

Malaysia Satu-Satunya Negara Yang Yakin Terhadap Putin – Kajian

Malaysia menjadi satu-satunya negara yang majoriti rakyatnya menyatakan keyakinan terhadap pemimpin Rusia, Vladimir Putin.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Pew Research Centre, 59% rakyat Malaysia dikatakan mempunyai pandangan yang baik terhadap Putin.

“Malaysia adalah satu-satunya negara yang dikaji di mana majoriti menyatakan keyakinan terhadap pemimpin Rusia itu,” kata pusat kajian tersebut.

Di negara lain, median 90% mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap Putin untuk melakukan perkara yang betul dalam hal ehwal dunia dan hampir 78% menyatakan tidak yakin sama sekali terhadap Putin.

Kajian yang dijalankan di 18 negara itu juga mendapati bahawa sekurang-kurangnya tujuh daripada 10 orang mempunyai pendapat yang tidak baik mengenai Rusia.

Pendapat bercampur-campur

Bagaimanapun, pendapat rakyat Malaysia bercampur-campur, dengan hanya separuh yang memberi pendapat tidak baik manakala 47% lagi berpendapat sebaliknya.

“Sepanjang dua dekad lalu, penarafan untuk Putin telah berada pada aliran menurun di kebanyakan negara.

“Tetapi pada tahun 2022, angka ini mencapai rekod terendah di setiap negara di mana arah aliran tersedia, dengan penurunan dua digit sejak tahun tinjauan yang lalu,” kata pusat kajian itu.

Kajian yang bertajuk International Attitudes Toward the U.S., NATO and Russia in a Time of Crisis itu melibatkan negara Amerika Syarikat, Kanada, Belgium, Perancis, Jerman, Greece, Itali, Belanda, Poland, Sepanyol, Sweden, United Kingdom, Israel, Australia, Jepun, Malaysia, Singapura dan Korea Selatan.

Difahamkan soal selidik dijalankan melalui kaedah bersemuka dan juga di dalam talian, yang bermula dari 14 Februari hingga 11 Mei 2022.

Sementara itu, median sebanyak 60% di 17 negara mempunyai keyakinan terhadap Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden terutamanya di Poland yang mencatatkan 82% dari keseluruhan.

Bukan itu sahaja, penduduk di Sweden, Korea Selatan, Belanda dan Jerman juga mempunyai tahap keyakinan yang agak tinggi terhadap Biden.

Pun begitu, walaupun masih agak tinggi di kebanyakan tempat, kepercayaan terhadap Biden telah menurun secara mendadak sejak 2021 di hampir setiap negara yang dikaji.

“Perubahan dalam keyakinan dari semasa ke semasa adalah berkaitan dengan persepsi tentang kebolehpercayaan Amerika sebagai rakan kongsi,” ujar kajian itu.

Sumber: Pew Research Center

Sofea

There's always another side to every story