Siakap Keli
Bawa bayi ke tempat kerja

Bawa Bayi Ke Tempat Kerja, Polis Wanita Ini Dapat Pujian Ramai

Seorang anggota polis wanita dengan pangkat konstabel di Assam, India mendapat pujian selepas dilihat membawa bayinya yang masih berusia tujuh bulan ke tempat kerja.

Sachita Rani Roy, yang telah dilantik sebagai pegawai polis di Mahkamah PI Silchar di daerah Cachar, India dilihat berjalan menuju ke pejabatnya sambil menggendong bayinya.

Memetik NDTV, difahamkan, Cik Roy tiba di pejabatnya sekitar jam 10.30 setiap pagi dan hanya keluar setelah semua kerja-kerja di pejabat selesai disiapkan pada hari itu juga.

Difahamkan, dia terpaksa untuk membawa bayinya ke pejabat kerana permohonan cutinya masih belum diluluskan oleh pihak atasan. Tambah wanita berusia 27 tahun itu, tiada sesiapa di rumah untuk menjaga bayi itu.

“Tidak ada sesiapa di rumah untuk menjaga bayi, jadi saya terpaksa membawa dia ke tempat kerja bersama walaupun merasa tidak selesa pada masa-masa tertentu oleh kerana rengakan bayi, namun saya tiada pilihan lain.

“Saya akan bertolak lebih awal kerana bekerja seharian bersama seorang bayi adalah perkara yang sangat mencabar,” jelasnya, lapor NDTV.

Menurut NDTV, suami Cik Roy juga merupakan seorang anggota polis (CRPF) yang ditugaskan di luar Assam.

Dedikasi Cik Roy terhadap kerjaya dan tugasnya diberikan ‘tepukan gemuruh’ daripada semua pihak dan jabatan.

“Saya telah mohon untuk melanjutkan cuti, namun selagi ia belum diluluskan saya akan terus bertugas dengan cara ini,” katanya lagi, lapor NDTV.

Sumber: NDTV

Faiz Mustafa

" "