Siakap Keli
Gambar: AFP

Indonesia Mahu Jadi Tuan Rumah Piala Asia 2023

Jakarta – Kerajaan Indonesia telah membenarkan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk menyediakan kertas cadangan bagi membida hak tuan rumah Piala Asia 2023.

Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Zainudin Amali berkata, “Kerajaan telah membenarkan PSSI menghantar kertas cadangan tersebut kepada AFC.”

Sama ada hari Selasa (28 Jun) atau Rabu (29 Jun) PSSI yang akan diwakili oleh Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Agongnya akan mengadakan pertemuan dengan pihak AFC mengenai perkara tersebut.

Kerajaan meluluskan kertas cadangan Indonesia sebagai tuan rumah kerana Piala Asia 2023 berlangsung selepas Piala Dunia 2023 Bawah 20 tahun yang turut diadakan di Indonesia tahun hadapan.

Piala Dunia B-20 dijadualkan pada bulan Mei hingga Jun, sementara Piala Asia 2023 dijadualkan berlangsung pada Jun hingga Julai.

“Infrastruktur kita sentiasa bersedia untuk menganjurkan Piala Asia 2023 selepas Piala Dunia B-20 berlangsung dan tenaga kerja juga sentiasa bersedia. Tidak sukar bagi kami untuk menganjurkan Piala Asia kali ini,” kata Menteri itu lagi.

Terdahulu, Indonesia telah menyiapkan enam stadium untuk Piala Dunia B-20. Walaubagaimanapun, menteri itu pasti kerajaan sentiasa bersedia untuk menyiapkan venue tambahan jika diperlukan.

Antara negara-negara yang disebut bakal membida hak tuan rumah Piala Asia 2023 adalah Korea Selatan, Jepun, Australia dan Qatar. Indonesia menjadi satu-satunya negara Asean yang mahu bersaing mendapatkan hak tersebut.

Indonesia layak ke Piala Asia 2023 selepas menduduki tempat kedua dalam kumpulan A sesi kelayakan akhir Piala Asia 2023. Turut layak negara kita Malaysia yang menduduki tempat kedua dibelakang Bahrain dengan mencatat dua kemenangan dan satu kekalahan sepanjang kempen kelayakan yang berlangsung baru-baru ini.

Sumber: Antara News

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)