Siakap Keli

Lelaki Maut & 6 Kanak-Kanak Cedera Kemalangan Di Sungai Buloh

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) — Seorang lelaki maut manakala enam kanak-kanak yang dalam perjalanan pulang dari sekolah cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Saujana Utama, Sungai Buloh di sini hari ini.

Kejadian dilapor pada 1.08 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Aruz dipandu seorang wanita keluar dari simpang dan melanggar Proton Exora dipandu lelaki itu yang berada di sebelah kiri jalan.

“Akibat rempuhan itu, kereta Proton Exora yang dinaiki empat kanak-kanak lelaki dan dua perempuan terbabit terbalik dan terbabas di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kemalangan itu menyebabkan Muhamad Zaki Ariffin, 52, mati di tempat kejadian manakala enam murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Saujana Utama cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Wanita yang memandu Perodua Aruz dan penumpang wanita di dalam kereta itu juga dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan.

Sumber: Bernama

Faiz Mustafa