Siakap Keli
Lelaki Disyaki Bunuh Isteri
Gambar via Bernama

Lelaki Disyaki Bunuh Isteri, Bayi Direman Seminggu

JOHOR BAHRU, 5 Julai (Bernama) — Seorang lelaki yang disyaki membunuh isteri dan bayinya yang baru berumur tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu di sini direman tujuh hari bermula hari ini.

Tempoh reman hingga 11 Julai terhadap pencuci kapal berumur 24 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Nur Izzaty Muhammad Zahari di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, polis menahan lelaki terbabit di kawasan Permas Jaya di sini, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dilapor sebagai berkata lelaki berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada 2.45 petang, dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu.

— BERNAMA

Faiz Mustafa