Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dakwa Lebih Yakin Berseluar Dalam Ketika Merompak, ‘Robin Hood’ Thailand Berjaya Diberkas

Gambar Via Bangkok Post/Daily Star

Dakwa Lebih Yakin Berseluar Dalam Ketika Merompak, ‘Robin Hood’ Thailand Berjaya Diberkas

Seorang lelaki di Thailand yang dipercayai hanya memakai seluar dalam ketika merompak telefon bimbit di sebuah kedai telah berjaya ditahan oleh pihak polis.

Memetik laporan Bangkok Post, lelaki yang turut mendapat jolokan ‘Robin Hood Thailand’ itu telah memberikan sebahagian hasil rompakannya kepada golongan gelandangan.

Pihak polis telah membawanya ke kedai di daerah Muang, Nakhon Nayok pada Rabu untuk melakonkan semula aksi jenayahnya.

Suspek didakwa telah mencuri 128 barangan yang kebanyakannya terdiri daripada telefon bimbit bernilai kira-kira 1.9 juta baht selepas memecah masuk ke dalam premis tersebut kira-kira jam 3 pagi pada Ahad.

Gambar Via Daily Star

Polis dipercayai telah menahannya pada hari berikutnya di sebuah bilik sewa di daerah Bang Kapi, Bangkok.

Ketua siasatan bagi Polis Wilayah 2, Mejar Jeneral Theeradet Thamsuthee berkata bahawa pihaknya telah menemui 31 telefon bimbit di bilik sewa suspek.

Malah, mereka menemui 58 lagi telefon di dalam bilik lain yang disewa suspek di Jalan Ramkhamhaeng.

Dalam pada itu suspek didakwa telah memberitahu polis bahawa dia mencuri di kedai yang dikenali sebagai Kedai Banana IT itu kerana suka pada pisang dan warna kuning.

Dia juga hanya memakai seluar dalam ketika mencuri kerana dakwanya pakaian itu membuatkannya berasa lebih yakin.

Gambar Via Daily Star

Selain itu, dia juga mencuri telefon bimbit kerana dia tidak memilikinya ketika di zaman kanak-kanak, tidak seperti rakan-rakannya yang lain.

Suspek juga mendakwa bahawa dia menyerahkan beberapa telefon dan wang kepada gelandangan di stesen kereta api Hua Lamphong dan Sanam Luang di Bangkok serta di Narathiwat. Alasannya adalah kerana dia juga pernah menjadi gelandangan pada masa lalu.

Selain di kedai itu, polis juga merancang untuk membawanya ke tempat kejadian lain untuk lakonan semula.

Dia didakwa turut mencuri di kedai di wilayah Songkhla, Prachuap Khiri Khan, Phattalung dan Nakhon Si Thammarat di Selatan dan di wilayah Nong Bua Lam Phu dan Ubon Ratchathani di Timur Laut.

Gambar Via Daily Star

Setiap kali mencuri, dia dirakam hanya memakai seluar dalam dan disebabkan itu juga dia digelar sebagai ‘pencuri berseluar dalam’.

Dia juga dikatakan mencari kesemua kedai telefon bimbit itu menerusi peta di dalam talian.

Difahamkan, ketika ditangkap suspek dalam perjalanan menuju ke kampung halamannya di Narathiwat dengan membawa telefon yang dicurinya.

Sumber: Bangkok Post