Siakap Keli
apa itu inflasi
Gambar Via Google

Harga Barang Kian Mahal, Ketahui Apa Itu Inflasi Dan Kaitannya Dengan Kenaikan Harga Barang

Harga Barang Kian Mahal, Ketahui Apa Itu Inflasi Dan Kaitannya Dengan Kenaikan Harga Barang

Sejak beberapa tahun yang lalu, dunia ‘bergelut’ dengan pelbagai krisis yang akhirnya membawa kepada krisis kemelesetan ekonomi. Berikutan itu juga, isu inflasi menjadi satu perdebatan yang hangat pada ketika ini.

Seperti yang dilaporkan pada minggu lalu, kadar inflasi di Sri Lanka telah mencapai paras tertinggi sepanjang masa iaitu 54.6 peratus. Menurut laporan, ia merupakan kali pertama bacaan Indeks Harga Pengguna Colombo (CCPI) melepasi paras 50 peratus.

Kesannya, pendapatan rakyat di negara itu menjadi lumpuh dan turut kehabisan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas yang lain.

Apa yang berlaku di negara tersebut merupakan satu realiti pahit yang perlu ditelan. Mahu tidak mahu ia tetap juga perlu dihadapi.

Walaupun inflasi di Malaysia masih lagi antara yang terendah di ASEAN, namun ia sememangnya tidak boleh dipandang enteng.

Bagaimanapun, apakah sebenarnya inflasi dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada kita?

Apa maksud inflasi?

Untuk pengetahuan anda, inflasi ialah peningkatan harga yang berterusan secara umum. Manakala, kadar inflasi pula ialah ukuran bagi kadar peningkatan harga dalam bentuk peratusan. Sebagai contoh, kadar inflasi pada tahap 2.5% (berdasarkan Indeks Harga Pengguna Kebangsaan) membawa maksud bahawa perbelanjaan purata individu atas barangan utama dan perkhidmatan telah meningkat pada kadar 2.5% sepanjang tempoh setahun.

Menurut rencana yang diterbitkan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Bank Negara Malaysia (BNM), kuasa membeli akan merosot disebabkan inflasi. Manakan tidak, dengan harga yang semakin meningkat, mustahil untuk mempunyai kuasa pembelian barangan dan perkhidmatan yang sama seperti sebelumnya.

Kenaikan harga barang

Dalam pada itu, barangan import akan bertambah mahal dan para pengeluar akan mengambil kesempatan memindahkan kos komponen yang diimport termasuk kos bahan mentah kepada negara pengguna.

Seiring dengan perkara tersebut, ia akan mengakibatkan kenaikan harga barang terhadap pendapatan isi rumah dan penurunan nilai gaji.

Inflasi juga berlaku disebabkan oleh peningkatan kos pembuatan. Sebagai contoh, disebabkan kenaikan harga minyak diesel atau petrol, harga barangan lain juga turut meningkat.

Ia disebabkan oleh peningkatan kos pengangkutan untuk memindahkan barangan dari titik A ke titik B. Impaknya harga akhir barangan dinaikkan sepanjang tempoh masa yang lama.

Malah, inflasi juga akan memberi impak kepada poket semua pengguna dalam jangka masa panjang. Dengan itu, pengguna perlu mempraktikkan pengurusan kewangan yang bijak untuk mengemudi arus inflasi serta kadar kenaikannya.

Inflasi dan pelaburan

Menurut portal Forbes Advisor, melabur dalam pasaran saham adalah salah satu cara yang berpotensi untuk ‘mengalahkan’ inflasi.

Walaupun harga saham individu mungkin jatuh atau syarikat mungkin terkeluar daripada perniagaan, indeks pasaran saham yang lebih luas meningkat dalam jangka panjang dan seterusnya mengatasi inflasi.

Pun begitu, melabur dalam saham individu tidak menawarkan jaminan tetapi pelaburan dalam dana indeks pasaran yang luas boleh meningkatkan kekayaan selama beberapa dekad dan mengatasi inflasi.

Sumber: BNM, Forbes Advisor

Sofea

There's always another side to every story