Siakap Keli
Gambar via Mashable SE Asia

Diisytihar Bangkrap, Kadar Inflasi Sri Lanka Cecah 54.6 %, Salah Satu Punca Kerana Rasuah

Diisytihar Bangkrap, Kadar Inflasi Sri Lanka Cecah 54.6 %, Salah Satu Punca Kerana Rasuah

Kadar inflasi bagi Sri Lanka memecah rekod sembilan kali berturut-turut dengan paras tertinggi sepanjang masa iaitu 54.6 peratus. Ia juga merupakan kali pertama bacaan Indeks Harga Pengguna Colombo (CCPI) melepasi paras 50 peratus. 

Angka terbaru itu muncul selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa kerajaan Sri Lanka untuk mengekang kadar inflasi dan memerangi rasuah bagi menyelesaikan masalah ekonomi dalam negara.

Penyebab krisis ekonomi Sri Lanka

Walaupun terdapat banyak faktor seperti pandemik, lonjakan harga barang dan tenaga, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, IMF berkata ia lebih kepada masalah rasuah di negara tersebut. 

Berikutan lawatan wakilnya selama 10 hari ke ibu negara Sri Lanka, Colombo, IMF berkata ia akan menjadi salah satu tugas yang sukar untuk memulihkan kembali masalah ekonomi mereka. 

“Memandangkan tahap pendapatan mereka yang rendah, pembaharuan cukai yang meluas sangat diperlukan dengan segera,” kata IMF dalam satu kenyataan dan berkata Sri Lanka perlu mengurangkan masalah rasuah dan menangani inflasi.

IMF juga mencadangkan Sri Lanka untuk menamatkan subsidi sumber tenaga yang yang menyebabkan belanjawan negara semakin tenat.

“Pihak berkuasa telah mencapai kemajuan yang besar dalam merangka program pembaharuan ekonomi mereka dan kami tidak sabar untuk melihat hasilnya,” jelas mereka. 

Dalam erti kata lain, sebelum IMF meminjamkan sebarang bentuk kewangan kepada Sri lanka untuk memperbaiki ekonomi mereka, negara itu perlu terlebih dahulu menyelesaikan masalah rasuah dimana ia menjadi punca kepada salah urus kewangan negara berkenaan.

Seberapa teruk masalah ekonomi Sri Lanka

Krisis ekonomi mereka sangat teruk sehingga rakyat Sri Lanka sering terputus bekalan elektrik dan beratur panjang di stesen-stesen minyak. 

Kos bahan api sahaja telah meningkat kepada 400 peratus menyebabkan kerajaan Sri Lanka gagal membayar hutang asing yang berjumlah RM224 billion. 

22 juta rakyat Sri Lanka buka sahaja kehabisan petrol, malah mereka juga turut kehabisan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas yang lain. Perkhidmatan-perkhidmatan yang dianggap tidak penting juga terpaksa ditutup.

Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sri Lanka, Hanaa Singir-Hmady berkata rakyat mereka perlukan bantuan dengan segera. 

“Sistem penjagaan kesihatan Sri Lanka yang dahulunya kukuh kini berada dalam bahaya termasuklah pendapatan rakyat yang juga lumpuh dan golongan bawah menghadapi kesan yang paling besar,” jelasnya. 

PBB telah merayu bantuan untuk menyelamatkan 1.7 juta penduduk di Sri Lanka dengan jumlah sebanyak  RM 207.1 juta. 

Sementara itu, rakyat Sri Lanka turun ke jalan sebagai satu bentuk protes untuk menuntut peletakan jawatan Mahinda Rajapaksa. Mahinda telah meletak jawatan pada Mei 2022 berikutan protes besar-besaran itu. 

Kini, semuanya bergantung kepada presiden keenam Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, bukan sahaja untuk mengurangkan inflasi tetapi juga menghapuskan rasuah. 

BACA: Proses Kat Rumah Je, Abang Ni Kongsi Cara Nak Buat Sendiri Minyak Masak Guna Buah Sawit

BACA JUGA: Remaja Dipercayai Psikopat Dilapor Bunuh Adik Tiri Lima Tahun, Dipenjara Seumur Hidup

Sumber: AFP, Mashable SE Asia

Faiz Mustafa