Siakap Keli
tiga lelaki tertembak rakan
Gambar hiasan via Bernama

Polis Tahan Tiga Lelaki, Bantu Siasatan Kes Tertembak Rakan Semasa ‘OTW’ Ke Kebun Durian

Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan mengenai kejadian tertembak rakan sendiri dalam satu insiden di Hulu Langat pada awal pagi semalam, lapor Kosmo!.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, kejadian tersebut berlaku di satu lokasi di sekitar Sungai Gabai membabitkan empat lelaki yang sedang dalam perjalanan menuju ke kebun durian di atas lereng bukit.

“Hasil siasatan mendapati salah seorang rakan mangsa yang membawa senapang patah telah tergelincir di lereng bukit mengakibatkan senjata api yang dipegang terpelanting.

“Mangsa yang merupakan lelaki berusia 32 tahun itu telah terkena tembakan sebelum disahkan mati di lokasi kejadian,” katanya, memetik Kosmo! semalam.

Tambah Zaid, terdapat beberapa kesan tembakan pada badan mangsa yang dipercayai dari senapang patah yang dibawa oleh salah seorang suspek dikesan selepas siasatan forensik dilakukan.

“Hasil semakan pula menunjukkan senjata api itu dilesenkan atas nama bapa saudara kepada salah seorang rakan mangsa.

“Susulan itu, ketiga-tiga rakan mangsa yang berusia lingkungan 36 hingga 43 tahun itu ditahan polis bagi membantu siasatan,” jelasnya lagi.

Difahamkan, kes itu masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Bagi membantu siasatan, orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis terdekat atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan, Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100.

Imbas kembali, satu kejadian hampir serupa mengenai kes tembak rakan sendiri pernah berlaku dalam satu kejadian di Bang Sue, Thailand kira-kira tiga bulan lalu.

Merujuk laporan terdahulu, seorang lelaki separuh abad ditembak sebanyak enam das secara jarak dekat oleh rakannya sendiri dalam insiden yang berlaku di Jalan Prachacuen di wilayah itu.

Bagaimanapun difahamkan, mangsa berusia 53 tahun tersebut yang bekerja sebagai pemandu motosikal sewa di wilayah berkenaan akhirnya disahkan maut serta-merta di tempat kejadian.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seperti yang tular di media sosial, pada awalnya suspek, 44 tahun dilihat memanggil mangsa yang ketika itu sedang menunggang motosikalnya.

Mangsa kemudiannya berpatah balik untuk berjumpa dengan suspek di tepi jalan dan berbual mengenai sesuatu perkara.

Bagaimanapun, suspek dilihat bertanya sesuatu kepada mangsa dalam nada yang tinggi, sebelum bertindak mengeluarkan sepucuk pistol lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa bertubi-tubi.

Difahamkan, mangsa dan suspek pernah menjadi rakan baik sebelum ini, termasuklah membuka kios bagi menjalankan perniagaan ayam bersama-sama.

BACA JUGA: Lelaki Ditembak Rakan Sendiri Dari Jarak Dekat

Sumber: Kosmo!

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.