Siakap Keli
Sumber: iStock

Rasa Diri Tak Dihargai Antara Punca Dipercayai Wanita ‘Berduit’ & Bekerjaya Curang

Rasa Diri Tak Dihargai Antara Punca Dipercayai Wanita ‘Berduit’ & Bekerjaya Curang

Sudah menjadi lumrah, setiap hubungan percintaan yang dibina tidak akan mampu lari daripada ujian, antaranya ujian kecurangan pasangan. Tidak kira sama ada ketika hangat menjalinkan hubungan cinta sebagai pasangan kekasih ataupun ketika sudah mengikat hubungan secara sah, potensi untuk salah seorang berlaku curang tetap ada.

Curang dalam rumah tangga adalah satu pengkhianatan yang sangat digeruni kerana mampu meruntuhkan sesebuah institusi kekeluargaan itu. Walau apapun alasan diberi, curang ini sebenarnya adalah satu pilihan dan tidak adil sebenarnya untuk menyalahkan takdir semata-mata.

Bayangkan, jika seseorang itu sudahpun berjanji untuk setia sehingga ke hujung nyawa namun di tengah jalan, dia membuka hatinya untuk orang ketiga hingga memusnahkan segala kebahagian yang dibina sebelum ini, itu terang-terang adalah pilihan dirinya sendiri. Sama ada ia berlaku secara tidak sengaja atau kerana tersalah buat keputusan, itu cerita lain.

Kini, curang bukan sahaja merujuk kepada spesifik jantina itu untuk diakui kesalahan. Kendatipun secara dasarnya, menurut Perunding Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Dr Robiah Hamzah, kebanyakan golongan yang sanggup bertindak untuk mencurangi ini adalah daripada pihak suami dengan menjelaskan lapan daripada sepuluh kes yang dilaporkan berkaitan curang.

Menerusi perkongsian temu bual secara langsung yang diadakan di Facebook Siakap Keli bersama Puan Suzana binti Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, beliau telah berkongsi ilmu dengan penonton ketika mengupas topik “Curang satu pilihan atau takdir”, semalam.

Menurutnya, antara kes curang berlaku adalah melibatkan wanita yang lebih bekerjaya berbanding pasangan.

Bagi isteri yang menjana pendapatan melebihi si suami dan kemudiannya berlaku curang, salah satunya mungkin berpunca daripada rasa diri tidak dihargai. Rata-rata masyarakat umum tidak menyedari bahawa ia boleh menjadi punca kenapa wanita bekerjaya memilih untuk berlaku curang.

Ulasnya lebih lanjut, kebanyakkan wanita yang bekerjaya dan mempunyai wang sendiri sering menerima suaminya seadanya. Tatkala isteri pulang dari kerja dan ingin meluahkan apa yang dilalui kepada suami, namun ada yang mendapati bahawa pasangan tidak memberikan perhatian sepenuhnya. Maka, sesetengah golongan isteri membuat kesimpulan bahawa diri dan pengorbanan mereka tidak dihargai suami.

Masalah kecurangan boleh berlaku sekiranya ada insan lain, diluar rumah tangga yang lebih memahami masalah yang dihadapi dan memberi perhatian kepadanya. Kehadiran orang ketiga ini sememangnya mampu memporak-perandakan rumah tangga sesiapa sahaja.

Justifikasinya di sini, seseorang wanita itu sanggup menerima kekurangan suami walau apa sekali pun. Pada waktu yang sama, apa yang diingini hanyalah perhatian suami terhadap dirinya sahaja.

“Berusaha sama-sama untuk saling menyempurnakan akan membuat kita lebih memahami perkahwinan itu adalah amanah daripada Allah untuk saling mengasihi dan setia” jelas Puan Suzana, Perunding Motivasi dan Kaunseling Keluarga.

Dari perspektif suami yang memiliki isteri yang berkerja lebih daripada dirinya pula, mereka mungkin tidak menyedari atau peka dengan tanggungjawab yang perlu digalas isteri, apatah lagi jika isteri selalu sibuk dengan kerjayanya. 

Sebaliknya, jika suami peka dan menyedari sumbangan si isteri, mereka mungkin lebih menghargai pengorbanan yang dibuat oleh pasangan dalam membantu diri mereka menjalankan tanggunjawab sebagai ketua keluarga.

Konklusinya, dengan menghargai seseorang tidak kira sama ada suami atau isteri sebenarnya merupakan satu kunci kebahagian dalam sebuah rumah tangga itu untuk kekal lama. 

BACA: Boleh Ke Simpan Daging Korban Lebih 3 Hari, Apa Hukumnya? Ini Jawapan Mufti WP

BACA: Tular Video Dipercayai Prank Tarik Tudung Wanita, Polis Sahkan Sudah Terima Laporan

Sumber: Siakap Keli TV

Nurul Nazihah