Siakap Keli
tangkap tikus dapat rm3
Gambar: Loop Jamaica via Google/FB MPJ

Penduduk Daerah Ini ‘Diseru’ Tangkap Tikus, Dapat Ganjaran RM3 Seekor

Penduduk di sekitar Daerah Jasin, Melaka yang berjaya tangkap tikus sama ada hidup atau mati bakal diberikan ganjaran bernilai RM3 setiap seekor, lapor Utusan Malaysia.

Menurut laporan, ganjaran menarik tersebut ditawarkan oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bersempena Kempen Membasmi Tikus yang bakal berlangsung bermula esok hingga 17 Ogos depan.

Yang Dipertua MPJ, Datin Sapiah Haron berkata, pihaknya bersedia memberikan ganjaran menarik berupa wang tunai berkenaan bagi menarik minat komuniti untuk menjayakan kempen tersebut.

“Orang ramai boleh menghantar seberapa banyak tikus yang ditangkap dan setiap seekor ganjarannya ialah RM3.

“Kita tidak hadkan jumlah tikus, lagi banyak tikus dibawa sudah pasti ganjaran besar boleh mereka peroleh.

“Usaha ini adalah langkah terbaik bagi menggalakkan orang ramai membantu MPJ membasmi haiwan perosak itu, sama ada di rumah atau premis restoran,” katanya, memetik Utusan Malaysia.

Difahamkan, ganjaran tersebut boleh dituntut selepas tikus yang ditangkap itu dibawa ke pejabat MPJ setiap hari bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang, kecuali pada Sabtu dan Ahad.

Menurutnya lagi, tikus-tikus yang ditangkap itu juga boleh dihantar ke Pasar Awam Merlimau, namun hanya pada 21 Julai ini dan 4 Ogos depan sahaja.

Menerusi kempen tersebut juga, penduduk dan pemilik turut boleh memastikan premis mereka berada dalam keadaan yang paling bersih, jelas Sapiah.

“Kempen ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk yang menghubungi MPJ dan kakitangan saya maklumkan, mereka bertanyakan lokasi untuk menghantar dan menuntut ganjaran RM3 itu.

“Segala usaha itu tidak akan berkesan jika orang ramai dan kawasan komersial termasuk premis makanan masih dalam keadaan kotor,” katanya lagi.

Gambar: FB MPJ

Sumber: Utusan Malaysia

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.