Siakap Keli
uae cuti setahun

UAE Benarkan Staf Kerajaan Cuti Setahun Mulakan Bisnes, Jawatan Kekal & Gaji Dibayar Separuh

UAE dilaporkan membenarkan penjawat awamnya mengambil cuti selama setahun untuk memulakan perniagaan mereka sendiri.

Malah, kerajaan juga akan membayar separuh gaji mereka dalam tempoh berkenaan dan jawatan masing-masing akan dikekalkan.

Keputusan itu telah dibuat ketika Yang Amat Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden, Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada Khamis yang lalu.

“Matlamat kami adalah untuk menggalakkan belia di sini dengan memanfaatkan peluang komersial besar yang ditawarkan oleh ekonomi negara kita,” mengikut ciapan yang dibuat oleh Sheikh Mohammed.

Cuti selama setahun itu merupakan cuti berbayar yang akan ditawarkan kepada rakyat UAE yang bekerja di sektor kerajaan. Ia akan diberikan kepada rakyat yang ingin memulakan atau menguruskan perniagaan mereka sendiri di sektor swasta sahaja.

Sejajar dengan itu, cuti yang dipohon itu akan diluluskan oleh ketua pengarah agensi kerajaan masing-masing. Naib Presiden UAE menjelaskan bahawa kabinet telah menyemak keputusan ekonomi negara berbanding tahap pra-pandemik.

Beliau mengatakan bahawa negara menyaksikan pertumbuhan sebanyak 47 peratus dalam eksport bukan minyak, 16 peratus peningkatan dalam pelaburan asing dan peningkatan 126 peratus dalam bilangan syarikat baharu.

BACA: Bekas PM Jepun, Shinzo Abe Dilapor Ditembak Dipercayai Dengan ‘Shot Gun’

Sumber: Khaleej Times 

Nurul Nazihah