Jajan ‘Ice Smoke’ Dipercayai Keluarkan Api, Budak 5 Tahun Dilapor Melecur Satu Badan
JAKARTA – Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun dilaporkan melecur di seluruh badannya setelah membeli makanan ringan yang dikenali sebagai ‘ice smoke’ ketika melihat pertunjukan reog di sini, lapor Detik.com.
Dilaporkan, makanan ringan yang dibeli dengan harga RM 5 (Rp 20 ribu) itu mengandungi nitrogen cair. Kanak-kanak tersebut tertarik untuk membeli ‘ice smoke’ kerana ia boleh mengeluarkan asap ketika dimakan.
“Selepas penjual bagi makanan itu kepada anak saya, tiba-tiba ada percikan api yang terus membakar anak saya. Saya tidak tahu bagaimana boleh terbakar sebab saya tidak merokok.
“Saya tidak terlalu memperhatikan sama ada sekeliling anak saya ada yang merokok. Kejadian itu berlaku cepat sekali. Saya secara spontan mencuba untuk memadamkan api menggunakan tangan saya.
“Disebabkan itu, tangan saya juga turut terbakar,” ujar bapa mangsa.
Setelah kejadian itu, bapa mangsa, Sutrisno terus menanggalkan baju anaknya yang telah terbakar lalu membawanya ke klinik kesihatan berdekatan.
Akibat kesan melecur yang teruk, pihak klinik kesihatan meminta mangsa untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Makanan segera itu dikatakan mengandungi nitrogen cair. Tidak sampai seminit anak saya memegangnya, terus terbakar. Kami tidak tahu punca api itu datang dari mana.”
Dia berharap masalah ini dapat diselesaikan secara baik. Dia juga berharap orang ramai mendoakan kesihatan anaknya.
“Pemilik makanan ada datang ke sini untuk meminta maaf. Saya sendiri ingin selesaikan secara baik. Apa yang penting bagi saya ialah kesembuhan anak saya,” ujarnya
Dia turut menasihati para ibu bapa agar lebih berhati-hati ketika membeli apa-apa bentuk makanan kepada anak-anak agar kejadian sepertinya tidak berulang.
Sumber: Detik.com
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%