Siakap Keli
ibu reda anak maut
Gambar Via Bernama

Ibu Reda Anak Maut, Kembar Pula Cedera Parah Dalam Kemalangan Awal Pagi

GEORGE TOWN, 17 Julai (Bernama) — Seorang wanita bukan sahaja kehilangan seorang anak lelakinya yang terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi tadi malah kembar kepada si mati turut cedera parah dalam kejadian itu.

Wanita berusia 44 tahun itu berkata anaknya, 22, maut di lokasi kejadian manakala kembarnya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.

Walaupun sedih dengan kejadian menimpa pasangan kembar itu, yang merupakan anak sulung, dia reda dengan apa yang berlaku dan berkata empat bulan lepas anaknya yang berusia 20 tahun turut terlibat dalam kemalangan di Parit Buntar, Perak membabitkan motosikal ditunggangnya dengan sebuah treler.

“Saya mengetahui kejadian yang menimpa pasangan kembar itu selepas dihubungi rakan kepada anak dan terus ke lokasi kejadian untuk melihat apa yang berlaku… sebaik sampai, saya tergamam melihat beberapa orang bergelimpangan di atas jalan lalu terus mencari kedua-dua anak saya.

“Mula-Mula saya panggil nama adik dan dia mengangguk. Saya kemudian memanggil nama abang tetapi dia tiada respons, kaku dah. Saya hilang kata-kata,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik HPP di sini.

Dia yang berasal dari Batu Maung, berkata pasangan kembar itu yang bekerja sebagai ‘runner’ insurans memang sangat rapat dan dia juga terkilan kerana anaknya yang meninggal dunia bakal melangsungkan perkahwinan pada Disember ini setelah bertunang tahun lepas.

Manakala, ibu kepada seorang lagi mangsa yang maut yang berusia 25 tahun pula berkata sebelum sambutan Aidiladha, dia sempat menasihati anak sulungnya itu agar berhati-hati ketika menunggang motosikal.

“Dia memang suka motosikal dan dia sangat minat dengan bidang membaiki motosikal. Dari kecil dia baiki basikal, bila besar dia baiki motosikal pula… saya juga tidak sangka dia meninggal dunia pun berpunca daripada minatnya itu,” katanya.

Dia berkata anaknya itu bekerja sebagai mekanik di Saujana Height dan tinggal di Bukit Gedung bersama isteri serta dua anak mereka yang berusia lapan dan empat tahun namun selalu singgah ke rumahnya di Kampung Tersusun, Sungai Ara dekat sini.

“Boleh kata setiap hari arwah datang rumah saya dan sejak seminggu dua ni, dia macam mengelak daripada memandang muka saya, saya hairan juga tetapi tidak fikir apa-apa… kali terakhir dia datang rumah saya pada Sabtu petang tapi saya tiada kerana bekerja dan dia jumpa adik dia sahaja,” katanya.

Bagi seorang abang yang kehilangan adiknya dalam kemalangan itu pula berkata ia memberi kesan mendalam kerana arwah sangat rapat dengan semua ahli keluarga mereka.

Dia berkata arwah yang berusia 19 tahun juga sempat berpesan kepada rakan-rakan agar mengebumikan jenazahnya di tanah perkuburan yang sama dengan datuk mereka di Balik Pulau jika dia meninggal dunia bagi memudahkan urusan keluarga untuk menziarah.

Empat penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi tadi.

Polis menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 4.30 pagi dan siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira 4 pagi di kawasan lebuh raya berkenaan menghala ke pusat bandar George Town melibatkan beberapa motosikal yang disyaki terlibat dalam kegiatan lumba haram.

Sumber: BERNAMA

Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.