Wanita Terpaksa Dimasukkan Ke Hospital, Badan Kebas & Sesak Nafas Lepas Kutip Duit Di Tandas
AMERIKA SYARIKAT – Seorang wanita dimasukkan ke hospital selepas mengutip sekeping wang kertas yang dipercayai mengandungi dadah, lapor India Times.
Mangsa telah dimasukkan ke hospital ekoran seluruh tubuh badannya menjadi kebas setelah dia mengutip wang kertas dari lantai sebuah restoran terkenal.
“Badan saya menjadi kebas sepenuhnya, saya hampir tidak boleh bercakap dan tidak boleh bernafas. Saya mencuba sedaya upaya untuk kekal sedar,” tulisnya di ruangan Facebook.
Menurutnya, dia bersama suami dan anak-anak telah singgah ke restoran tersebut untuk menggunakan tandas.
Dia yang pada ketika itu sedang menggendong bayinya tiba-tiba ternampak sekeping wang kertas berhampiran lantai tandas. Tanpa berfikir panjang, dia terus mengambil wang tersebut.
Sebaik sahaja dia menuju ke arah kereta, dia mula berasa tidak sedap.
“Tiba-tiba saya merasakan ia bermula di bahu dan perasaan itu dengan cepat merebak ke seluruh badan tanpa henti,” jelasnya.
Wanita itu lantas memaut lengan suaminya apabila dia mula berasa kebas.
“Saya hampir tidak boleh bercakap dan tidak boleh bernafas. Saya mencuba untuk kekal sedar hanya disebabkan jeritan daripada suami untuk terus berjaga.”
Pada ketika itu, suaminya sedang menghubungi 911 sambil mencari mana-mana balai bomba atau hospital yang terdekat.
Wanita itu turut memberitahu bahawa dia tidak sedarkan diri sewaktu dalam perjalanan ke hospital. Walau bagaimanapun, dia bersyukur kerana diberikan rawatan secepat mungkin.
“Dia kelihatan seperti orang mati. Dia tidak sedarkan diri dan wajahnya sangat pucat,” ujar suaminya.
Menurut suaminya, dia turut merasakan gejala tersebut sejurus selepas isterinya memaut lengan. Namun, gejala itu berkurangan dengan cepat dan isterinya itu juga mula berasa nyaman selepas beberapa jam.
Pasangan itu mendakwa bahawa wang kertas itu telah disapukan dengan dadah jenis fentanyl.
Sumber: India Times
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%