Seorang bayi berusia satu tahun dilaporkan meninggal dunia selepas terjerut tali bidai ketika bermain di dalam biliknya.
Memetik laporan Mirror, mangsa ketika itu sedang bermain bersama abangnya yang berusia tiga tahun di dalam bilik tidur di rumah keluarganya di Oldham, Greater Manchester.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Koroner Rochdale, ibu mangsa dikatakan telah meninggalkan bilik itu untuk beberapa saat dan ketika dia kembali semula, dia mendapati mangsa tiada di situ.

Tidak lama kemudian dia pergi mencari mangsa di dalam bilik hadapan dan mendapati bahawa mangsa sedang terjerut pada bidai.
Cemas dengan keadaan itu, wanita tersebut memanggil suaminya dan terus memaklumkan kepada jiran mereka yang merupakan seorang jururawat.
Difahamkan, jiran mereka yang datang telah memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa sehingga perkhidmatan kecemasan tiba.
Mangsa telah dibawa ke Hospital Diraja Oldham dan kemudian ke Hospital Kanak-kanak Manchester untuk dirawat kerana dipercayai mengalami kerosakan otak.
Bagaimanapun, rawatan itu dihentikan atas nasihat doktor dan mangsa telah dilaporkan meninggal dunia pada 1 Februari lalu.
Selepas inkues kes tersebut, ibu mangsa memberi penghormatan kepada anaknya dan menyeru ibu bapa untuk menyedari risiko tali bidai pada anak-anak kecil.

“Dia seorang budak lelaki yang tampan, anda pasti akan ‘cair’ melihat senyuman nakalnya.
“Saya berharap orang ramai sedar bahawa bidai adalah bahaya, saya tidak mahu keluarga lain turut melalui insiden seperti ini,” katanya.
Sementara itu, penolong koroner, Edward Morgan telah mengenal pasti beberapa masalah berkaitan bidai yang membawa kepada kematian bayi itu.
Menurutnya, walaupun Peraturan Keselamatan Tali Bidai diperkenalkan pada 2014, pemilik rumah itu tidak mengantikan bidai tersebut sebelum keluarga itu berpindah masuk pada tahun 2020.
Sumber: Mirror