Tiang Besi Ajaib, Usia 1,600 Tahun Tapi Tak Berkarat, Dipercayai Dibina Guna ‘Teknologi’ Yang Dah ‘Hilang’
Kompleks Masjid Quwwat-ul-Islam di New Delhi merupakan rumah kepada satu keajaiban purba iaitu, sebuah tiang besi yang berusia 1,600 tahun. Tiang besi tersebut memiliki ketahanan daripada mengalami pengoksidaan (karat).
Saiz Tiang Besi Qutub Minar
Tiang Besi Qutub Minar merupakan satu monumen purba yang berketinggian 7.21 meter (m), diameter sebesar 41 sentimeter (cm) dan berat sebesar 6 ton. Usianya menjangkau satu alaf setengah dan dipercayai telah didirikan semasa pemerintahan Chandragupta II, salah seorang maharaja paling berkuasa Empayar Gupta.
Walapupun tiang ini telah berada di persekitaran luar, Tiang Qutub Minar tidak menunjukkan tanda-tanda berkarat. Untuk beberapa dekad, saintis dan tukang besi dari seluruh dunia membuat spekulasi mengenai sifat luar biasa ini, dan hanya pada tahun 2003, misteri itu akhirnya dirungkaikan.

Mengapa tiang besi itu tidak berkarat
Suatu ketika, ramai manusia percaya bahawa tiang tahan karat itu diperbuat daripada logam misteri dan ia tidak berasal dari bumi. Ada juga yang membuat spekulasi bahawa tiang itu dibina dengan menggunakan teknik futuristik dan teknik itu hilang ditelan zaman.
Teori kedua secara teknikalnya tepat seperti yang dibentangkan oleh pakar metalurgi di India Institute of Technology (IIT), Kanpur. Penemuan teori itu dijadikan sebagai kertas kerja dan diterbitkan dalam jurnal Current Science.
R Balasubramanian merupakan pengarang bersama bagi kajian tersebut menganggap bahawa tiang itu sebagai “bukti nyata kepada kemahiran ahli metalurgi India purba,”. Beliau menjelaskan bahawa struktur besi tempa itu memiliki satu lapisan perlindungan “misawite”.
Misawite merupakan sejenis besi amorfus oksihidroksida yang membentuk penghalang antara muka antara permukaan logam dan karat. Pembentukan misawite disebabkan oleh kandungan fosforus yang tinggi dalam besi.

Hal ini disokong melalui komposisi logam yang terdapat dalam tiang tersebut. Besi tempa yang menghasilkan Tiang Besi Qutub Minar mengandungi sebanyak 1 peratus fosforus dan besi moden hanya mempunyai kandungan fosforus di bawah 0.05% sahaja.
Menurut Dr. Balasubramaniam, pembuatan besi pada hari ini telah menghalang pembentukan misawite. Tukang besi pada hari ini mengeluarkan fosforus daripada besi untuk mengelakkan logam daripada pecah.
Mereka menyimpannya di dalam dan menempa fosforus dengan tukul bagi menolak fosforus daripada permukaan logam ke bahagian teras. Perkara ini menjadikan besi itu kuat, dan juga membawa kepada satu halangan pembentukan misawite.
Ancaman manusia pada Tiang Besi Qutub Minar
Seperti perkara yang sering berlaku terhadap mana-mana monumen purba, tiang ini sangatlah terdedah kepada manusia. Terdapat satu kepercayaan apabila seseorang berjaya melilitkan lengan mereka dan menyentuh hujung jari mereka pada struktur logam ini, mereka akan memperoleh tuah.
Disebabkan kepercayaan ini, semakin ramai orang yang terlibat dalam amalan itu selama bertahun-tahun dan membawa kepada perubahan warna yang kelihatan pada tiang tersebut.
Walaupun misawite adalah sangat baik untuk melindungi besi daripada karat, tetapi ia adalah lapisan yang sangat nipis. Kepercayaan melilitkan lengan itu telah menyebabkan banyak kejadian pakaian bergeser dengan permukaan besi berlaku.
Secara tidak sedar, perbuatan ini telah menghakis benda yang sepatutnya melindungi Tiang Besi Qutub Minar selama 1,600. Nasib baik, pihak berkuasa menyedari perkara tersebut dan mendirikan pagar pelindung di sekeliling tiang itu.
BACA: Liga Super 2023 Berwajah Baru, Kini 18 Pasukan Beraksi Semusim & Liga Perdana Dimansuh
Sumber: Oddity Central