Penyanyi terkenal tanah air, Wany Hasrita, 30, telah selamat bernikah bersama pasangannya, Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, sebentar tadi.
Kedua-dua mereka sah bergelar suami isteri dengan dua lafaz nikah dalam majlis yang diadakan di Glam Hall, Damansara Perdana malam ini.
Merujuk laporan Utusan Malaysia, pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa Wany, iaitu Hasbullah Hassan, 56, turut disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa.
Difahamkan, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah menerima mas kahwin daripada suami berupa sebentuk cincin berlian.
Bagaimanapun difahamkan, jumlah wang hantaran seperti yang disepakati adalah dirahsiakan dan tidak disebut secara umum.
Majlis pernikahan itu tadi turut dihadiri oleh beberapa rakan artis tempatan yang turut sama berkongsi detik-detik manis suasana tersebut menerusi laman media sosial masing-masing.
View this post on Instagram
Sebelum itu, Wany mengumumkan tentang pernikahan tersebut menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya malam ini.
“Assalamulaikum WBT, dan salam sejahtera. Alhamdulillah, Syukur kepada Allah, yang Maha Merancang tiap sesuatu di muka bumi ini.
“Wany, dengan rasa rendah hati, ingin memohon doa kalian semua untuk Wany menempuh kehidupan di fasa yang baru.
“ InsyaAllah, Wany akan bernikah malam ini, jadi di kesempatan ini, Wany ingin mohon maaf andai Wany pernah menyakiti hati, terlanjur kata atau pernah mengecilkan hati anda semua,” katanya, memetik hantaran tersebut.
Sumber: IG Hafiz Hamidun via ERA / IG Wany Hasrita