Nahas TransAsia Airways: Juruterbang Terlampau ‘Overconfident’ Punca Pesawat Terhempas
TAIWAN – Sebuah pesawat TransAsia Airways terhempas ke dalam hutan serta sebuah perkampungan hingga mengakibatkan kematian kebanyakan penumpang dan seluruh anak kapal, lapor Daily Star.
Insiden ngeri itu dilaporkan berlaku pada 8 tahun lepas bersamaan 23 Julai 2014.
Walau bagaimanapun, kejadian yang mengejutkan dunia itu sebenarnya boleh dicegah dengan mudah malah nyawa para penumpang dan anak kapal turut boleh diselamatkan.
Menurut Daily Star, siasatan yang dijalankan mendedahkan bahawa nahas tersebut berlaku kerana juruterbang yang terlalu yakin untuk melakukan pendaratan dalam cuaca yang buruk meskipun gagal menjumpai landasan secara visual.
Tindakan itu telah diklasifikasikan sebagai pengabaian prosedur keselamatan kerana beliau memutuskan untuk mendarat dan bukannya berada di ruangan udara sehingga menjumpai kawasan pendaratan yang lain.
Ajaibnya, hanya 10 daripada 58 orang penumpang termasuk anak kapal yang dilaporkan selamat.
Penerbangan domestik TransAsia Airways yang terhempas itu dilaporkan berlepas dari lapangan terbang Kaohsiung menuju Pulau Penghu Taiwan.
Difahamkan, pesawat itu telah mengalami kecelakaan sehingga melanggar pokok sejauh beberapa ratus kaki di dalam hutan kecil sebelum terbang keluar lalu terhempas ke sebuah perkampungan bernama Xixi.
Pada ketika itu, pesawat mengalami impak yang turut memusnahkan beberapa rumah di kampung tersebut.
Kekuatan hentaman itu telah menyebabkan pesawat meletup. Beberapa penumpang dilaporkan tercampak ke jalan raya.
Namun, berlaku keajaiban apabila sepuluh daripada penumpang berjaya terselamat dan merangkak keluar dari serpihan pesawat untuk mencari perlindungan di rumah berhampiran.
Penduduk kampung menawarkan bantuan kepada mangsa yang terselamat dan merawat kecederaan mereka sementara menunggu bantuan tiba.
Siasatan telah dilancarkan oleh Majlis Keselamatan Penerbangan Taiwan (ASC) dan menjatuhkan hukuman yang tegas kepada juruterbang.
“Tingkah laku juruterbang yang enggan patuh pada prosedur itu adalah masalah sistemik yang berkekalan sekaligus membentuk budaya keselamatan yang buruk,” kata laporan itu.
Syarikat penerbangan itu dinasihatkan untuk mengupah lebih ramai juruterbang bagi mengurangkan beban kerja mereka dan melabur dalam latihan keselamatan penerbangan.
Juruterbang pesawat itu didapati mempunyai kemahiran terbang yang baik dan telah berjaya mendaratkan pesawat pada masa lalu dalam keadaan cuaca buruk.
Perkara ini dijadikan sebagai salah satu asbab berlakunya kemalangan ekoran dia yang berasa terlalu yakin dan memutuskan untuk mencuba mendarat apabila orang lain tidak mahu mengambil risiko.
“Kapten itu tidak mematuhi dan telah mengabaikan sepenuhnya dasar, prosedur dan peraturan. Sikap berbahaya jenis ini disifatkan sebagai anti-pihak berkuasa.”
Ia bukan kemalangan maut pertama yang dialami TransAsia. Pada tahun berikutnya, Februari 2015, salah satu pesawatnya memotong jambatan di Taipei dan jatuh di sungai, menyebabkan 43 orang terkorban.
Sumber: Daily Star
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%