Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Kutipan Mat Kilau Cecah RM90 Juta Selepas 33 Hari Tayangan

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Filem biografi epik, “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” yang telah mencetuskan fenomena luar biasa, berjaya meraih kutipan tiket berjumlah RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di seluruh negara, Singapura dan Brunei.

Pengarahnya Mohd Syamsul Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof berkata filem itu menjadi filem pecah panggung tertinggi bagi kategori tempatan dan antarabangsa selepas Munafik 2 dan Avengers: End Game.

“Air mata syukur… tiada kata melainkan Alhamdulillah. Saya dan seluruh team amat terharu. Terima kasih penonton masih terus memberi kepercayaan pada karya kali ini dan kesemua filem saya sebelumnya. Sejak dari filem pertama hingga sekarang. Insya-Allah, semoga terus diberi ilham untuk filem akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 itu juga berkata filem Mat Kilau turut menjadi filem nombor satu dalam carta box office mingguan untuk lima minggu berturut-turut sekali gus mengetepikan filem besar Hollywood.

“Telah terbukti beberapa kali, karya filem Melayu masih boleh berdiri di bumi sendiri. Ini harapan baharu sinema tempatan dan buat semua anak seni tanah air. Ayuh semua pengkarya filem, ayuh bersatu demi kita sama-sama majukan industri seni Malaysia,” katanya.

Sejak mula ditayangkan pada 23 Jun lepas, filem yang diinspirasikan daripada sejarah benar tanah air itu telah berjaya menjadi antara perbualan utama di media sosial selain membangkitkan semangat kepahlawanan apabila ramai yang berbusana Melayu ketika hadir ke pawagan.

Filem yang melibatkan kos RM8 juta itu dibarisi ramai pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, A. Galak, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon Indonesia yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story