Lelaki Dilapor Nyaris Maut, Dibelit Ular Peliharaan Sepanjang 15 Kaki Di Bahagian Leher
PENNSYLVANIA – Seorang pencinta ular nyaris maut selepas ular peliharaan sepanjang 15 kaki membelit lehernya.
Menurut NDTV, polis dan paramedik telah bergegas ke sebuah rumah di Pennsylvania sebaik menerima laporan berkenaan seorang lelaki yang mengalami serangan jantung.
Namun, setibanya paramedik ke tempat kejadian, mereka telah mendapati seorang lelaki berusia 28 tahun terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai dengan ular yang membelit lehernya.
Leftenan Polis Perbandaran Upper Macungie, Peter Nickischer menyatakan bahawa pegawai bertugas tidak sempat bertanyakan apa-apa dan hanya mengutamakan untuk bawa lelaki itu masuk ke dalam ambulans sahaja bagi menyelamatkannya.
“Keutamaan para anggota bertugas adalah hanya bertindak segera demi menyelamatkan mangsa,” ujar Encik Nickischer.
Pihak polis menyifatkan ular itu bersaiz besar dan sangat panjang. Mereka menyatakan bahawa reptilia itu cukup panjang sehinggakan kepalanya cukup jauh dari badan lelaki tersebut ketika pegawai melepaskan tembakan.
Walau bagaimanapun, ular itu tidak mati serta-merta malah menyusur pergi.
Pemilik ular itu pula ditarik ke tempat selamat sejurus ular tersebut berlalu.
Mangsa dikerjarkan ke hospital tempatan bagi mendapatkan rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Pegawai polis menyifatkan insiden itu persis adegan filem seram. Beliau turut menambah bahawa tidak pernah melihat kejadian seperti itu sepanjang 19 tahun kariernya.
Encik Nickischer memuji pegawai yang mengambil tindakan berani itu.
Polis memaklumkan bahawa mereka menemui beberapa sangkar ular di rumah mangsa.
Malangnya, mereka masih tidak pasti mengenai spesies ular yang melilit leher lelaki itu, dan mereka tidak merancang untuk melakukan sebarang penyiasatan lanjut.
Sumber: NDTV
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”